MONTREAL, 20 April-Pihak berkuasa pilihan raya Kanada berkata kadar pengundian awal yang tinggi adalah tanda “semangat terhadap proses pilihan raya” pada kempen pilihan raya yang dibayangi oleh ketegangan dengan negara jiran, Amerika Syarikat.
Lebih dua juta rakyat Kanada telah mengundi pada hari pertama pengundian awal Jumaat lepas, menurut data awal daripada Elections Canada yang diberikan kepada AFP menyaksikan peningkatan sebanyak 36 peratus berbanding tahun 2021.
Pengundi mempunyai masa sehingga malam Isnin untuk mengundi awal sebelum pilihan raya berlangsung pada 28 April.
Pada Jumaat, para pengundi dilaporkan berbaris panjang di luar pusat-pusat mengundi di beberapa bandar besar, dengan sesetengahnya menunggu sehingga dua jam, menurut penyelia tempatan kepada AFP.
“Tahun ini adalah pilihan raya yang ‘istimewa’ memandangkan apa yang sedang berlaku dengan Amerika Syarikat,” kata Josee Fournier di luar sebuah pusat pengundian di Montreal pada Sabtu.
Pekerja sumber manusia berusia 60 tahun itu berkata beliau hanya membuat keputusan pada saat akhir disebabkan ketegangan rentas sempadan yang "serius".
Raphael Collomb, 35, pula berkata beliau telah "mengikuti semua laporan media dan manifesto calon-calon" sebagai persediaan untuk mengundi.
Beliau mahu “ekonomi menjadi lebih baik dan suasana yang lebih aman untuk semua,” katanya kepada AFP.-AFP.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sejak kembali memegang jawatan pada Januari, telah mengeluarkan pelbagai ancaman untuk mengenakan tarif serta menjejaskan kedaulatan Kanada.
Ancaman dari luar ini telah mendorong ramai rakyat Kanada mengundi berdasarkan pemimpin parti mana yang dirasakan paling layak untuk berdepan dengan Trump.
Tinjauan terkini menunjukkan Parti Liberal yang dipimpin oleh penyandang Mark Carney meraih sokongan sekitar 44 peratus, mendahului pembangkang Parti Konservatif di bawah Pierre Poilievre yang berada sekitar 38 peratus.
Pesaing yang lebih kecil termasuk Parti Demokratik Baharu (New Democratic Party) berhaluan kiri dengan lapan peratus sokongan, dan parti pemisah Bloc Quebecois dari Quebec dengan lima peratus.-AFP.