fb fb fb fb fb

Pandora Box: Perluas peranan tentera dalam kerajaan cetus kebimbangan di Indonesia

FOTO AFP

JAKARTA, 20 April- Enam bulan pertama pemerintahan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, mencetuskan kebimbangan aktivis hak asasi manusia susulan pengaruh ketenteraan yang semakin meluas dalam kerajaan, ancaman terhadap wartawan, dan ekonomi yang semakin lemah.

Bulan lalu, Parlimen Indonesia meluluskan pindaan undang-undang yang membenarkan anggota tentera aktif berkhidmat di 14 institusi kerajaan, meningkat daripada 10 sebelum ini termasuk Pejabat Peguam Negara.

Langkah itu mencetuskan amaran bahawa negara demokrasi ketiga terbesar dunia itu mungkin kembali kepada corak autoritarian era Suharto yang memerintah lebih tiga dekad.

“Kerajaan seolah-olah tidak sedar bahawa Indonesia masih trauma kolektif terhadap zaman Orde Baru,” kata Timbalan Pengarah NGO Imparsial, Hussein Ahmad.

Prabowo, bekas jeneral dan komander unit elit semasa era Suharto, pernah didakwa terlibat dalam penculikan aktivis, namun tidak pernah didakwa dan menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut.

Beliau berjaya memulihkan imej politiknya dan memenangi pilihan raya atas janji meneruskan dasar Presiden Joko Widodo.

Namun dalam masa singkat sejak mengambil alih tampuk kuasa, watak lamanya sebagai tokoh ketenteraan kembali menjadi tumpuan umum, terutamanya susulan peranannya memperluas pengaruh tentera dalam kerajaan.

Malah bekas Presiden Susilo Bambang Yudhoyono turut bersuara, menyifatkan penglibatan tentera dalam politik sebagai perkara yang sebelum ini dianggap "taboo".

Jurucakap Presiden, Hasan Nasbi, menafikan dakwaan Indonesia bakal kembali ke zaman Suharto, dan menyatakan peranan tentera kini hanya tertumpu kepada sektor yang memerlukan kepakaran khusus.

Prabowo juga menampilkan menteri kabinetnya dalam pakaian seragam tentera semasa perhimpunan pasca pelantikan, sementara Menteri Pertahanannya mengumumkan penubuhan 100 batalion bagi menyokong agenda kerajaan.

Dari sudut ekonomi, pentadbiran Prabowo berdepan tekanan apabila nilai rupiah jatuh dan pasaran tidak menentu, mendorong kepada pemotongan bajet kerajaan.

Satu lagi isu kontroversi ialah peraturan baharu yang membenarkan polis memantau wartawan asing, termasuk keperluan mendapatkan surat kebenaran untuk melapor dari lokasi tertentu.

Walaupun polis mendakwa surat tersebut tidak wajib, kumpulan seperti Human Rights Watch bimbang ia mampu menyekat kebebasan media.

Insiden gangguan terhadap wartawan turut meningkat, termasuk kes kepala babi dan tikus dihantar ke pejabat majalah Tempo serta serangan siber terhadap laman web mereka.

Wartawan Tempo, Francisca Christy Rosana, yang menjadi mangsa 'doxxing', menyatakan insiden tersebut jelas bertujuan menakut-nakutkan dan menyekat kerja wartawan.

Protes besar-besaran turut tercetus bulan lalu, dengan rakyat membawa poster mendesak tentera "kembali ke berek", namun Prabowo menyifatkan reaksi itu sebagai mengada-ngada selagi ia tidak mengancam ketenteraman awam.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE