fb fb fb fb fb

Yuran perkapalan: China kecam tindakan AS sebagai 'pendek akal'

Para pekerja dilihat berhampiran sebuah kapal yang sedang dibina di limbungan Huanghai Shipbuilding Co di Weihai, wilayah Shandong. / Foto REUTERS

BEIJING, 20 April-Keputusan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengenakan yuran pelabuhan terhadap industri perkapalan yang dikaitkan dengan China disifatkan sebagai tindakan pendek akal.

Pertikaian berkaitan industri perkapalan yang menyumbang 80% daripada perdagangan global menjadi konflik terbaharu dalam perang perdagangan yang semakin memuncak antara China dan Amerika Syarikat, dengan kedua-dua negara telah mengenakan tarif melebihi 100% terhadap import masing-masing.

Persatuan Industri Pembinaan Kapal Nasional China menyatakan kemarahan dan bantahan tegas terhadap langkah AS tersebut.

Organisasi berkenaan turut menyertai protes dari kerajaan China dan para pemilik kapal negara itu.

“Kejatuhan industri pembinaan kapal AS adalah akibat daripada dasar perlindungan mereka sendiri dan tiada kaitan dengan China,” kata persatuan itu dalam satu kenyataan.

Mereka memberi amaran bahawa sekatan dari AS itu boleh mengganggu sistem maritim global, menyebabkan kos penghantaran melonjak, menambah tekanan inflasi di Amerika Syarikat, dan merugikan rakyat negara itu sendiri.

“Kami menyeru seluruh industri maritim antarabangsa untuk bersama-sama menolak tindakan pendek akal AS ini dan bersama mempertahankan persekitaran pasaran yang adil,” tambah persatuan itu, sambil menyatakan mereka menjangka pihak berkuasa China akan mengambil tindakan balas yang tegas.

Kerajaan China turut memprotes langkah “diskriminasi” tersebut pada Jumaat, dan menggesa Washington untuk “membetulkan keadaan berkenaan.”

Kementerian Perdagangan China dalam satu kenyataan menyifatkan langkah tersebut sebagai amalan tidak berasaskan pasaran serta berikrar untuk “mengambil langkah-langkah yang perlu bagi mempertahankan industri tersebut.

Terdahulu, Amerika Syarikat (AS) pada Khamis mengumumkan mengenakan kadar baharu untuk yuran pelabuhan ke atas kapal buatan China, atau yang dikendalikan negara itu.

Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer berkata, langkah itu sebagai usaha meningkatkan industri pembinaan kapal domestik dan mengekang penguasaan China dalam sektor itu.

Di bawah peraturan baharu itu, bayaran setiap tan atau setiap kontena akan dikenakan untuk setiap pelayaran di AS untuk kapal berkaitan China, dan (yuran) bukannya di setiap pelabuhan, seperti dibimbangkan sesetengah pihak dalam industri.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD