MONTREAL, 20 April-Perdana Menteri Kanada, Mark Carney melancarkan manifesto menjelang pilihan raya Kanada yang dijadualkan berlangsung pada 28 April depan.
Manifesto berkenaan merangkumi potongan cukai serta perbelanjaan baharu untuk infrastruktur dan pertahanan.
Carney turut berikrar memperkenalkan satu susunan ekonomi baharu yang tidak terlalu bergantung kepada Amerika Syarikat.
“Kita sedang berada dalam krisis besar, jadi kita perlu lakukan dua perkara. Pertama, hentikan pembaziran perbelanjaan, yang kita akan laksanakan.
"Tetapi lebih penting, kita perlu berani dan pacu pelaburan dalam ekonomi serta ambil peluang hebat yang ada,” kata Carney dalam satu sidang media.
Carney turut cuba menjauhkan diri daripada pendahulunya, Justin Trudeau, dengan menjanjikan kerajaan yang lebih cekap dan kurus.
Pelan Carney dijangka meningkatkan defisit kerajaan persekutuan kepada 1.96% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun fiskal 2025-26, menurun kepada 1.83% pada tahun berikutnya, kepada 1.35% menjelang 2028-29.
Kerajaan Trudeau sebelum ini meramalkan defisit sebanyak 1.6% daripada KDNK untuk tahun fiskal sebelumnya yang berakhir pada bulan Mac.
Carney juga merancang untuk memisahkan perbelanjaan kepada dua kategori iaitu perbelanjaan operasi dan perbelanjaan modal sesuatu yang baharu bagi Kanada.
Beliau turut memberitahu bahawa perbelanjaan kerajaan telah meningkat kira-kira 9% setiap tahun, dan kerajaan pimpinannya akan mengurangkan kadar pertumbuhan perbelanjaan itu kepada sekitar 2% tanpa mengurangkan sebarang pindahan kepada wilayah, wilayah autonomi atau individu.
Beliau berjanji untuk mengimbangi bajet operasi dalam tempoh tiga tahun akan datang.
“Pelan kami akan mengawal perbelanjaan kerajaan kerana kerajaan telah berbelanja terlalu banyak dan Kanada pula telah melabur terlalu sedikit,” kata Carney.
Carney juga bercadang untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan melebihi sasaran NATO sebanyak 2% daripada KDNK.
Carney turut berkata Kanada akan melabur dalam keselamatan trans-Atlantik bersama rakan kongsi Eropah yang "sehaluan".-REUTERS.