LUSAKA, 20 April– Seorang lelaki warga India diberkas pihak berkuasa Zambia selepas didapati cuba menyeludup wang tunai lebih AS$2 juta bersama jongkong emas bernilai AS$500,000 melalui lapangan terbang utama negara itu.
Menurut Suruhanjaya Penguatkuasaan Dadah (DEC) Zambia, suspek berusia 27 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kenneth Kaunda ketika dalam perjalanan menuju ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu.
Hasil pemeriksaan, suspek didapati membawa wang tunai berjumlah AS$2.32 juta dan tujuh ketul emas yang disyaki bernilai setengah juta dolar Amerika, yang disorokkan dalam sebuah beg tangan berwarna hitam dan dimuatkan ke dalam bagasi bersaiz besar jenis polipropilena.
Gambar yang dikongsikan media tempatan menunjukkan timbunan wang kertas AS$100 diikat dengan gelang getah.
DEC dalam kenyataan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan, dan memberi amaran bahawa pihak berkuasa tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam jenayah terancang rentas negara.
Zambia yang kaya dengan sumber mineral seperti tembaga dan emas, masih bergelut dengan kadar kemiskinan tinggi dengan lebih 60 peratus penduduk hidup di bawah garis kemiskinan menurut data Bank Dunia.
Pada tahun 2023, lima warga Mesir turut pernah ditahan di Zambia selepas pesawat yang mereka naiki ditemui membawa senjata, 127 kilogram emas dan wang tunai sebanyak AS$5.7 juta. Mereka kemudian dibebaskan selepas pertuduhan pengintipan digugurkan oleh pihak pendakwaan.-AFP