ABIDJAN, 28 Disember - Proses pengundian bagi pilihan raya parlimen Ivory Coast berakhir pada Sabtu, dengan kadar keluar mengundi rendah di ibu kota Abidjan, susulan seruan boikot oleh parti pembangkang serta beberapa insiden kekecohan kecil.
Pilihan raya itu berlangsung dua bulan selepas Presiden Alassane Ouattara, 83, memenangi pilihan raya presiden yang membolehkannya melanjutkan pemerintahan selama 14 tahun.
Tinjauan wartawan AFP di daerah Yopougon dan Plateau mendapati kurang daripada 100 pengundi hadir daripada kira-kira 400 nama yang tersenarai dalam daftar pemilih di beberapa pusat pengundian.
Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas (CEI) memaklumkan keputusan awal sementara dijangka diumumkan pada malam Sabtu.
Lebih lapan juta rakyat berdaftar untuk memilih ahli Dewan Negara, yang ketika ini dikuasai parti pemerintah.
Pilihan raya di Ivory Coast sering dibayangi ketegangan politik dan keganasan, menyebabkan lebih 40,000 anggota keselamatan yang dikerahkan semasa pilihan raya presiden pada Oktober lalu terus ditempatkan bagi pengundian parlimen kali ini.
“Beberapa insiden kekecohan berlaku, namun berjaya dikawal oleh pasukan keselamatan,” kata Pengerusi CEI, Ibrahime Kuibiert Coulibaly.
“Insiden ini kecil dan tidak menjejaskan kelancaran proses pengundian,” tambahnya tanpa memperincikan kejadian.
Ouattara, yang memenangi penggal keempat sebagai presiden, turut menunaikan tanggungjawab mengundi dalam pilihan raya legislatif tersebut.
Seorang pelajar sejarah, Assi Gilles Darus Aka, 21, berkata beliau keluar mengundi bagi memilih wakil yang mampu memperjuangkan peluang pekerjaan golongan belia.
Di Plateau, pengundi beratur di sebuah dewan di bawah potret besar Felix Houphouet-Boigny, presiden pengasas negara itu.
Namun menjelang tengah hari, kehadiran pengundi di beberapa kawasan termasuk Cocody dan Yopougon kekal rendah. Di satu pusat pengundian di Yopougon, hanya sekitar 20 orang mengundi daripada kira-kira 400 pengundi berdaftar.
Seorang pesara, Dominique Tanou Benie, 76, berkata meskipun wakil rakyat jarang kelihatan, beliau tetap mengundi kerana menganggapnya sebagai tanggungjawab sivik.
Parti pemerintah RHDP pimpinan Ouattara ketika ini menguasai majoriti dalam 255 kerusi Dewan Negara, yang dipilih setiap lima tahun.
Antara calon RHDP kali ini ialah Perdana Menteri Robert Beugre Mambe dan Tene Birahima Ouattara, adik kepada presiden merangkap menteri pertahanan.
Pada Oktober lalu, Ouattara menang hampir 90 peratus undi dalam pilihan raya presiden yang menyaksikan kebanyakan tokoh pembangkang disingkirkan.
Sekurang-kurangnya 11 orang terkorban dalam keganasan berkaitan pilihan raya presiden itu, manakala puluhan penyokong pembangkang ditahan.
Parti PPA-CI pimpinan bekas presiden Laurent Gbagbo, yang dilarang bertanding dalam pilihan raya presiden kerana sabitan jenayah, memboikot pilihan raya parlimen ini.
Namun, kira-kira 20 ahli parti itu bertanding sebagai calon bebas.
Sementara itu, parti PDCI pimpinan Tidjane Thiam, seorang lagi calon presiden yang dikecualikan sebelum ini, tetap meletakkan calon.
Jurucakapnya, Soumaila Bredoumy, ditahan pada November lalu atas tuduhan keganasan dan merancang tindakan terhadap kuasa negara. - AFP