fb fb fb fb fb

Niger isytihar mobilisasi menyeluruh tangani militan

FOTO www.theafricareport.com

NIAMEY, 28 Disember - Pemerintah tentera Niger meluluskan pelaksanaan mobilisasi menyeluruh termasuk pengambilan wajib rakyat, perkhidmatan dan aset, bagi mempertingkat usaha menentang serangan militan Islam yang berlarutan di negara itu.

Langkah mobilisasi dan pengambilan itu dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat, menurut kenyataan rasmi kerajaan.

“Orang ramai, harta benda dan perkhidmatan boleh diambil alih semasa mobilisasi umum bagi menyumbang kepada pertahanan negara, selaras dengan undang-undang dan peraturan sedia ada,” menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan itu turut menegaskan bahawa setiap warganegara diwajibkan mematuhi sebarang arahan panggilan atau penugasan semula tanpa berlengah, serta mematuhi langkah-langkah pertahanan negara.

Kerajaan menyatakan langkah itu perlu bagi memelihara keutuhan wilayah negara dan melindungi keselamatan rakyat.

Niger telah berdepan pemberontakan jihad selama lebih sedekad, melibatkan kumpulan berkait Al-Qaeda dan Islamic State (IS), yang mengorbankan hampir 2,000 nyawa, menurut data ACLED, sebuah pertubuhan pemantau konflik.

Wilayah tenggara negara itu turut menjadi sasaran Boko Haram serta kumpulan pesaingnya, ISWAP.

Pelaksanaan mobilisasi umum ini dibuat kira-kira lima tahun selepas Niger menggandakan kekuatan tenteranya kepada sekitar 50,000 anggota, selain menaikkan umur persaraan pegawai kanan daripada 47 kepada 52 tahun.

Kerajaan juga sebelum ini menggesa rakyat membuat sumbangan “sukarela” kepada dana yang diwujudkan pada 2023 bagi membiayai peralatan ketenteraan dan projek pertanian.

Tidak lama selepas merampas kuasa, junta Niger mengarahkan tentera Perancis dan Amerika Syarikat yang terlibat memerangi kumpulan jihad, khususnya di barat negara itu, meninggalkan Niger.

Niger bersama Mali dan Burkina Faso, yang juga ditadbir junta tentera, kini membentuk pasukan bersama antijihad melibatkan kira-kira 5,000 anggota. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD