fb fb fb fb fb

STC dituntut serahkan wilayah yang ditawan secara aman

FOTO AFP

RIYADH, 28 Disember - Gabungan seratau Yaman diketuai Arab Saudi memberi amaran kepada pihak pemisah selatan Yaman bahawa mereka akan menyokong kerajaan Yemen yang diiktiraf antarabangsa dalam sebarang konfrontasi ketenteraan dengan pasukan berkenaan, sambil menyeru agar berundur secara aman dari wilayah yang baru dikuasai.

Amaran itu dikeluarkan sehari selepas laporan serangan udara Arab Saudi menjejaskan kedudukan pemisah di wilayah Hadramawt.

Jurucakap pakatan berkenaan, Jeneral Turki al-Malki menegaskan bahawa sebarang usaha ketenteraan yang menggugat usaha mengurangkan konflik akan ditangani dengan segera bagi melindungi nyawa orang awam, menurut agensi berita Saudi, SPA.

Menteri Pertahanan Arab Saudi, Khalid bin Salman, melalui X meminta anggota Majlis Peralihan Selatan (STC) supaya menyerahkan dua wilayah yang ditawan secara aman.

“Inilah masanya untuk membiarkan akal mengatasi keadaan dengan berundur dari dua wilayah itu secara aman,” katanya.

STC sebelum ini menegaskan mereka tidak terkesan dengan serangan yang dikaitkan Arab Saudi, selepas mereka menawan Hadramawt dan Mahrah.

Sejak penawanan itu, penyokong STC mengadakan perhimpunan di bandar-bandar termasuk Aden bagi menuntut pengisytiharan kemerdekaan Selatan Yaman, dengan perhimpunan terbesar diadakan setiap hari Jumaat.

Pada Sabtu, beratus-ratus puak suku Yaman berhimpun di Aden dan mengibarkan bendera kemerdekaan Selatan bersama bendera UAE, menurut Aden Independent Channel.

Kejayaan STC memberi tamparan terhadap Arab Saudi yang merupakan penyokong utama kerajaan Yaman.

Menurut pakar Chatham House, Farea al-Muslimi, STC telah melanggar “garisan merah” Riyadh, dan situasi boleh memburuk dengan cepat.

“Satu perkara untuk mempermalukan Saudi. Tetapi mempermalukan Saudi secara terbuka adalah lebih buruk. Itu yang mereka lakukan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, menyeru supaya bersikap berhati-hati dan meneruskan diplomasi bagi mencapai penyelesaian jangka panjang.

Kerajaan Yaman meminta gabungan serantau pimpinan Arab Saudi untuk menyokong pasukannya di Hadramawt, selepas pasukan pemisah menguasai sebahagian besar wilayah itu.

“Ambil semua langkah ketenteraan perlu untuk melindungi orang awam dan menyokong angkatan bersenjata,” menurut agensi berita rasmi Yaman.

Sekitar 15,000 pejuang yang disokong Arab Saudi telah dikerahkan berhampiran sempadan negara itu namun belum diarahkan menyerang wilayah yang dikuasai STC.

Kerajaan Yaman adalah gabungan pelbagai kumpulan, termasuk pemisah, yang bersatu atas penentangan terhadap Houthi yang disokong Iran dan menguasai sebahagian besar utara negara sejak 2014. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD