MOGADISHU, 28 Disember - Kesatuan Eropah (EU) pada Sabtu menegaskan bahawa kemerdekaan Somalia wajar dihormati, susulan pengiktirafan Israel terhadap Somaliland di utara negara itu sebagai sebuah negara berdaulat.
Israel mengumumkan pengiktirafan itu pada Jumaat, menjadikannya sebagai negara yang pertama mengiktiraf kemerdekaan republik tersebut yang mengisytiharkan pemisahannya daripada Somalia secara unilateral sejak 1991.
Jurucakap luar EU, Anouar El Anouni, berkata EU menegaskan kepentingan menghormati kesatuan, kedaulatan dan integriti wilayah Somalia selaras dengan perlembagaan negara itu, Piagam Kesatuan Afrika dan Pertubuhan Bangsa Bersatu.
Jelasnya ia penting untuk keamanan dan kestabilan seluruh rantau Tanduk Afrika.”
EU juga menyeru supaya dialog antara Somaliland dan Kerajaan Persekutuan Somalia dijalankan bagi menyelesaikan perbezaan yang telah lama wujud.
Mogadishu mengecam tindakan tersebut sebagai serangan sengaja terhadap kedaulatan negara. Selain itu, negara seperti Mesir, Turki, enam anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berpangkalan di Saudi turut mengecam keputusan itu.
Somaliland, sebuah republik yang mengisytiharkan dirinya secara unilateral, menikmati kedudukan strategik di Teluk Aden serta memiliki mata wang, pasport, dan tentera sendiri, namun terpinggir secara diplomatik sejak mengisytiharkan kemerdekaan. - AFP