PRISTINA, 28 Disember - Kosovo akan mengadakan pilihan raya parlimen pada Ahad, dengan parti Perdana Menteri, Albin Kurti, berusaha memperoleh majoriti untuk menamatkan kebuntuan politik selama setahun yang telah melumpuhkan parlimen dan menunda dana antarabangsa.
Pilihan raya berkenaan adalah yang kedua pada tahun ini selepas parti pimpinan Kurti, Vetevendosje gagal memperoleh majoriti pada Februari.
Kegagalan rundingan pembentukan gabungan mendorong Presiden Vjosa Osmani membubarkan parlimen pada November dan mengisytiharkan pilihan raya awal.
Kegagalan membentuk kerajaan dan membuka semula parlimen akan menjejaskan proses penting, termasuk pemilihan presiden baharu pada April serta ratifikasi 1 bilion euro ($1.2 bilion) pinjaman dari Kesatuan Eropah dan Bank Dunia yang bakal tamat tempoh.
Parti-parti pembangkang menolak untuk bekerjasama dengan Kurti, mengkritik cara beliau mengurus hubungan dengan sekutu Barat dan pendekatannya terhadap utara Kosovo.
Kurti menuduh pembangkang sebagai punca kebuntuan.
Bagi menarik pengundi, Kurti berjanji memberikan tambahan sebulan gaji tahunan untuk pekerja sektor awam, melaksanakan pelaburan modal 1 bilion euro setiap tahun, dan menubuhkan unit pendakwaan baharu untuk membanteras jenayah terancang.
Tiada tinjauan pendapat diterbitkan di Kosovo, menjadikan keputusan pilihan raya tidak menentu. Ramai pengundi melahirkan kecewa terhadap situasi politik semasa.
Kosovo mengisytiharkan kemerdekaan dari Serbia pada 2008 dengan sokongan Amerika Syarikat, termasuk kempen pengeboman NATO 1999 terhadap tentera Serbia yang cuba menumpaskan pemberontakan majoriti etnik Albania.
Meskipun mendapat sokongan antarabangsa, Albania yang mempunyai 1.6 juta penduduk masih menghadapi kemiskinan, ketidakstabilan, dan jenayah terancang. - REUTERS