fb fb fb fb fb

Bolsonaro jalani prosedur perubatan rawat sedu berpanjangan

Bekas President Brazil, Jair Bolsonaro/AFP

BRASILIA, 28 Disember - Bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro, menjalani prosedur perubatan pada Sabtu bagi merawat masalah sedu berulang yang dialaminya sejak beberapa bulan lalu, menurut pasukan perubatannya.

Bolsonaro, 70, yang kini menjalani hukuman penjara 27 tahun atas kesalahan cubaan rampasan kuasa, dibebaskan sementara dari penjara pada Rabu bagi menjalani pembedahan hernia pangkal paha di Hospital DF Star, Brasilia.

Pembedahan tersebut dilakukan pada Khamis tanpa sebarang komplikasi, dan beliau kekal dirawat di hospital selama beberapa hari untuk pemantauan lanjut.

Sepanjang tempoh itu, pasukan perubatan memutuskan satu sekatan anestetik pada saraf frenik, iaitu saraf yang mengawal pergerakan diafragma, perlu dilakukan bagi merawat masalah sedu yang berulang.

Doktor Bolsonaro, Dr Claudio Birolini, menjelaskan prosedur tersebut melibatkan pengesanan saraf menggunakan mesin ultrabunyi sebelum disuntik dengan ubat penahan sakit.

Menurut Birolini, prosedur tersebut mengambil masa kira-kira sejam dan tidak melibatkan sebarang hirisan.

Bahagian kanan saraf frenik dirawat terlebih dahulu, manakala prosedur untuk bahagian kiri dijadualkan pada Isnin. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD