YANGON, 28 Disember - Proses pengundian di Myanmar bermula Ahad dalam suasana sekatan ketat, dengan junta tentera menggambarkannya sebagai usaha mengembalikan demokrasi, lima tahun selepas kerajaan pilihan raya digulingkan dan mencetuskan konflik bersenjata berpanjangan.
Bekas pemimpin awam, Aung San Suu Kyi, masih menjalani hukuman penjara, manakala parti pimpinannya yang pernah mendapat sokongan besar rakyat, Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD), telah dibubarkan dan tidak terlibat dalam pilihan raya kali ini.
Pilihan raya berperingkat selama sebulan itu menerima kecaman meluas daripada aktivis, diplomat barat serta Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, yang menyifatkannya sebagai proses tidak seimbang, dipenuhi sekutu tentera serta dilaksanakan di bawah penindasan terhadap perbezaan pendapat.
Parti protentera, Union Solidarity and Development Party (USDP), dijangka memperoleh kerusi terbanyak yang menurut pengkritik hanyalah usaha mengukuhkan kesinambungan pemerintahan tentera.
Negara Asia Tenggara berpenduduk kira-kira 50 juta orang itu kini terjerumus dalam perang saudara, dengan pengundian tidak dijalankan di kawasan yang dikuasai kumpulan penentang bersenjata.
Pusingan pertama daripada tiga fasa pengundian bermula pukul 6 pagi Ahad (waktu tempatan) di kawasan di bawah kawalan junta, termasuk Yangon, Mandalay dan Naypyidaw.
Seorang pengundi awal di Yangon berkata pilihan raya itu penting demi kestabilan negara, sambil menegaskan keamanan dan keselamatan perlu menjadi keutamaan utama.
Berbeza dengan pilihan raya 2020 yang menyaksikan kehadiran pengundi besar-besaran, pusat pengundian kali ini lengang, malah bilangan petugas dan wartawan didapati lebih ramai berbanding pengundi, termasuk di kawasan pusat bandar berhampiran Pagoda Sule.
Sebahagian pengundi pula menolak kritikan antarabangsa, menyifatkannya sebagai perkara biasa dalam proses politik.
Tiada kempen besar-besaran diadakan seperti sebelum ini, ketika junta memperhebatkan operasi ketenteraan prapilihan raya bagi menguasai semula wilayah yang dipertikaikan.
Sebaliknya, penduduk yang terkesan akibat konflik menyuarakan pandangan bahawa pilihan raya di bawah pemerintahan tentera tidak mungkin bebas dan adil, terutama ketika ribuan orang terpaksa hidup berpindah-randah dan bersembunyi daripada serangan.
Ketua junta, Min Aung Hlaing, terus mempertahankan pilihan raya sebagai jalan ke arah perdamaian nasional, namun tidak memberi maklum balas terhadap permintaan media antarabangsa.
Myanmar sebelum ini berada di bawah pemerintahan tentera untuk tempoh panjang sebelum menikmati satu dekad pentadbiran awam yang berakhir dengan rampasan kuasa 2021.
Suu Kyi kini menjalani hukuman penjara 27 tahun, dengan pertuduhan yang menurut kumpulan hak asasi bermotif politik. Anak beliau menyifatkan pilihan raya ini sebagai tidak membawa makna sebenar.
Sebahagian besar parti yang bertanding pada 2020 telah dibubarkan, dan pemerhati pilihan raya menyatakan majoriti kerusi Parlimen sebelum ini dimenangi pihak yang tidak lagi layak bertanding.
Pihak berkuasa tentera telah membuka kes terhadap ratusan individu atas dakwaan mengganggu proses pilihan raya, termasuk melalui kritikan dan bantahan.
Menurut PBB, pilihan raya kali ini berlangsung dalam keadaan keganasan, ketakutan dan penindasan, dengan pusingan seterusnya dijadualkan dalam dua minggu sebelum undian terakhir pada 25 Januari.
Junta mengakui pilihan raya tidak dapat dilaksanakan di hampir 20 peratus kawasan, sementara kumpulan penentang prodemokrasi menegaskan mereka akan meneruskan perjuangan bersenjata. - AFP