fb fb fb fb fb

Gempa bumi kuat gegar timur laut Taiwan

Foto FB Met Malaysia

TAIPEI,28 Disember- Satu gempa bumi berukuran 6.6 magnitud melanda kawasan perairan di luar pantai timur laut Taiwan pada Sabtu, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), menjadikannya gegaran besar kedua yang melanda pulau itu dalam tempoh beberapa hari.

Agensi cuaca Taiwan bagaimanapun meletakkan kekuatan gempa pada 7.0 magnitud, dengan kejadian berlaku pada pukul 11.05 malam waktu tempatan (1505 GMT) pada kedalaman 73 kilometer di laut berhampiran daerah Yilan, kira-kira di barat daya Taipei.

Biro Bomba Daerah Yilan memaklumkan kepada AFP bahawa tiada laporan awal mengenai kematian atau kerosakan setakat ini.

Media tempatan melaporkan gegaran tersebut menyebabkan bangunan di ibu negara Taipei bergoyang dan turut dirasai di seluruh Taiwan.

Taiwan sering mengalami gempa bumi kerana kedudukannya di persimpangan dua plat tektonik berhampiran Lingkaran Api Pasifik, yang menurut USGS merupakan kawasan paling aktif dari segi seismik di dunia.

Pada Rabu lalu, satu lagi gempa bumi berukuran 6.0 magnitud melanda kawasan tenggara pulau itu.

Pada April 2024, gempa bumi kuat berukuran 7.4 magnitud mengorbankan 17 nyawa selepas mencetuskan tanah runtuh dan merosakkan bangunan dengan teruk di sekitar bandar Hualien.

Pihak berkuasa ketika itu menyifatkan kejadian tersebut sebagai gempa paling kuat melanda Taiwan dalam tempoh 25 tahun.

Gempa tersebut juga merupakan yang paling serius sejak gempa 7.6 magnitud pada tahun 1999, yang kekal sebagai bencana alam paling dahsyat dalam sejarah Taiwan.- AFP

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI