BANGKOK, 28 Disember- Thailand dan Kemboja pada Sabtu bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta bagi menamatkan pertempuran di kawasan sempadan yang telah mengorbankan puluhan nyawa dan memaksa lebih sejuta penduduk berpindah.
Persetujuan itu diumumkan dalam satu kenyataan bersama yang ditandatangani oleh menteri pertahanan kedua-dua negara di sebuah pusat pemeriksaan sempadan di wilayah Thailand. Gencatan senjata berkuat kuasa pada pukul 12 tengah hari.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menyambut baik pengumuman tersebut dan menyifatkannya sebagai langkah positif ke arah mengurangkan penderitaan orang awam serta mewujudkan suasana yang kondusif untuk mencapai keamanan berkekalan.
Menurut angka rasmi, sekurang-kurangnya 47 orang terbunuh dan lebih satu juta penduduk terpaksa berpindah selepas tiga minggu pertempuran yang melibatkan penggunaan artileri, kereta kebal, dron dan jet pejuang.
Gencatan senjata itu meliputi semua jenis senjata serta melarang serangan ke atas orang awam, objek awam, infrastruktur dan sasaran ketenteraan di semua kawasan. Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk membekukan pergerakan tentera dan membenarkan penduduk di kawasan sempadan pulang ke rumah masing-masing secepat mungkin.
Selain itu, Thailand bersetuju untuk memulangkan 18 anggota tentera Kemboja yang ditawan dalam tempoh 72 jam, manakala kedua-dua negara akan bekerjasama dalam usaha nyahperiuk api dan memerangi jenayah siber.
Menteri Pertahanan Thailand, Nattaphon Narkphanit, berkata tempoh tiga hari pertama akan dijadikan tempoh pemerhatian bagi memastikan gencatan senjata itu benar-benar dipatuhi, sambil menyifatkannya sebagai “pintu kepada penyelesaian secara aman”.
Di peringkat antarabangsa, ASEAN, Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan China menyuarakan sokongan terhadap perjanjian tersebut. China turut mengumumkan bahawa menteri luar Thailand dan Kemboja akan mengadakan rundingan di Yunnan pada 28 dan 29 Januari ini.
Konflik berkenaan berpunca daripada pertikaian wilayah lama melibatkan sempadan sepanjang 800 kilometer antara kedua-dua negara, khususnya tuntutan ke atas beberapa kuil purba yang berpunca daripada penandaan sempadan era penjajahan Perancis pada tahun 1907.
Walaupun pertempuran dihentikan, pemerhati menjangkakan kedua-dua negara masih berdepan cabaran besar untuk menyelesaikan isu sempadan secara muktamad selepas beberapa perjanjian gencatan senjata sebelum ini gagal bertahan.- AFP