KARACHI, 27 Disember – Shamshad Akhtar, wanita pertama dan satu-satunya yang pernah menerajui bank pusat Pakistan, meninggal dunia pada usia 71 tahun, menurut Kementerian Kewangan Pakistan, hari ini.
Akhtar sebelum ini memegang pelbagai jawatan penting negara termasuk sebagai Pengerusi Pakistan Stock Exchange sekali gus menjadikan beliau antara tokoh ekonomi yang berperanan merentas dasar monetari, pengurusan fiskal dan pasaran modal Pakistan.
Shamshad Akhtar pernah berkhidmat sebagai Gabenor State Bank of Pakistan dari 2006 hingga 2009, selain dilantik sebagai Menteri Kewangan sementara sebanyak dua kali menjelang Pilihan Raya Umum 2018 dan 2024.
Menteri Kewangan Pakistan, Muhammad Aurangzeb, menyifatkan pemergian beliau sebagai satu kehilangan besar kepada negara.
“Beliau adalah suara yang berprinsip dan berwibawa dalam sejarah ekonomi Pakistan, dikenali dengan integriti, profesionalisme serta khidmat awam yang panjang,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, sumbangan Shamshad Akhtar meninggalkan legasi penting dalam usaha memperkukuh tadbir urus ekonomi dan institusi kewangan Pakistan. - REUTERS