fb fb fb fb fb

Pilihan Raya Iran: Bekas Presiden, Ahmadnejad umum bertanding

Bekas Presiden Iran, Mahmoud Ahmadnejad kemukakan pencalonan bertanding pada Pilihan raya Iran/ Foto Facebook UTVNewsEnglish

TEHRAN, 2 Jun-Bekas Presiden Iran, Mahmoud Ahmadnejad mendaftar pencalonannya pada pemilihan presiden bulan ini, lapor agensi media negara berkenaan.

Iran bakal mengadakan pilihan raya pada 28 Jun ini bagi menggantikan Presiden Ebrahim Raisi yang terkorban dalam nahas helikopter pada 19 Mei lepas.

Ahmadnejad yang pernah menggalas jawatan Presiden selama dua penggal iaitu dari 2005 sehingga 2013 diingati kerana keberaniannya tidak tunduk kepada tekanan Barat berhubung program Nuklear Iran dan kenyataan kerasnya terhadap 'Holocaus' dan Israel.

Pencalonan berkenaan perlu mendapat kelulusan Majlis Penjaga Iran sebuah badan yang didominasi golongan konservatif daripada 12 ahli perundangan yang memeriksa kelayakan semua calon untuk jawatan awam.

Ahmadinejad sebelum ini telah hilang kelayakan daripada menyertai pemilihan presiden pada pilihan raya 2021 dan 2017.

“Saya yakin semua masalah negara boleh diselesaikan dengan menggunakan kapasiti negara secara maksimum,” katanya selepas mengemukakan pencalonan di Kementerian Dalam Negeri pada Ahad.

Tokoh terkemuka lain termasuk bekas speaker sederhana Parlimen Ali Larijani dan bekas Perunding Nuklear Ultrakonservatif, Saeed Jalili juga telah mendaftarkan pencalonan.

Majlis Penjaga akan mengumumkan senarai akhir calon pada 11 Jun ini.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD