fb fb fb fb fb

Pesawat terhempas di Nepal: Juruterbang lapor tiada kuasa pada enjin

(Anggota pasukan penyiasat Perancis menyiasat serpihan pesawat yang
dikendali Yeti Airlines, di Pokhara, Nepal / REUTERS)

KATHMANDU, 16 Februari- Juruterbang pesawat Yeti Airlines yang terhempas di Nepal, mengorbankan 71 orang dilaporkan berkata sebelum nahas itu berlaku tiada kuasa pada enjin pesawat berkenaan, menurut laporan siasatan awal semalam.

Pesawat itu terhempas sebelum mendarat di bandar pelancongan Pokhra pada 15 Januari lalu yang menjadi antara kemalangan kapal terbang paling buruk di Nepal dalam tempoh 30 tahun.

Terdapat seramai 72 penumpang pesawat jenis ATR 72 enjin berkembar yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Yeti Nepal, termasuk dua bayi, empat anak kapal dan 10 warga asing.

Anggota pasukan penyelamat menemui 71 mayat dengan seorang daripadanya yang masih belum dikenal pasti sehingga kini.

Laporan itu berkata, juruterbang yang menerbangkan pesawat menyerahkan kawalan kepada pemantauan juruterbang sebelum ia terhempas.

Maklumat dalam laporan awal mungkin berubah apabila siasatan berjalan, menurut laporan itu.

Panel mempunyai sehingga akhir Februari ini untuk menyerahkan laporan akhir.

Awal bulan ini, panel itu berkata analisis perakam suara kokpit dan perakam data penerbangan menunjukkan kipas kedua-dua enjin tidak berfungsi.

Pakar penerbangan, KB Limbu kemudian berkata, 'tiada tujahan' dalam enjin atau tidak menghasilkan apa-apa kuasa.

Hampir 350 orang terkorban dalam nahas pesawat atau helikopter di Nepal yang mencatatkan perubahan cuaca secara tiba-tiba dan mampu menyebabkan keadaan berbahaya sejak 2000. - REUTERS


(Pesawat Yeti Airlines terhempas sebelum mendarat di bandar pelancongan
Pokhra pada 15 Januari lalu /AFP)

Media Baharu