NEW DELHI, 16 Oktober- Sebuah pesawat Tentera Udara Kanada telah mengangkut penumpang pesawat Air India yang terkandas di sebuah lapangan terbang terpencil di Kanada susulan ancaman bom.
Syarikat penerbangan itu dalam kenyataan memaklumkan penerbangan AI127 yang beroperasi dari Delhi ke Chicago mendarat di Lapangan Terbang Iqaluit di Kanada pada Selasa sebagai langkah berjaga-jaga susulan ancaman keselamatan yang disiarkan secara dalam talian.
“Kami berterima kasih kepada pihak berkuasa Kanada dan pihak berkuasa di lapangan terbang Iqaluit atas sokongan dan bantuan yang diberikan kepada penumpang serta Air India semasa gangguan yang tidak dijangka ini,” menurut syarikat penerbangan itu pada Rabu.
Air India berkata penumpang penerbangan itu sedang dibawa ke destinasi mereka dengan pesawat Tentera Udara Kanada.
Beberapa penerbangan dari India menerima ancaman bom palsu pada Selasa, termasuk satu penerbangan tambang murah Air India Express dari Madurai ke Singapura dan penerbangan IndiGo dari Dammam ke Lucknow.
Sebanyak 10 penerbangan yang dikendalikan syarikat penerbangan India menerima ancaman bom dalam tempoh 48 jam sehingga Selasa, menurut laporan media India.
“Air India mengambil maklum bahawa syarikat itu dan syarikat penerbangan tempatan lain telah menerima beberapa ancaman dalam beberapa hari kebelakangan ini. Walaupun kesemua ancaman itu didapati palsu, sebagai syarikat penerbangan yang bertanggungjawab, semua ancaman diambil serius,” menurut kenyataan syarikat penerbangan itu sebelum ini.
Pada Selasa, pesawat Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) mengiringi penerbangan Air India Express AXB684 susulan ancaman bom.
Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen menerusi hantaran di platform X miliknya berkata dua pesawat F-15 dikerahkan untuk mengiringi pesawat itu menjauhi kawasan berpenduduk, dan pesawat berkenaan selamat mendarat di Lapangan Terbang Changi Singapura pada 10.04 malam.
Singapura turut mengaktifkan sistem pertahanan udara dan pasukan pelupusan bahan letupan dalam langkah kecemasannya.- BERNAMA