SYDNEY, 16 Oktober- Beratus-ratus bebola misteri seperti tar hitam ditemui di sepanjang pantai Sydney yang popular hingga mendorong pengawal pantai menutup kawasan itu kepada orang ramai.
Menurut Datuk Bandar, Dylan Parker, bebola misteri berwarna hitam itu muncul di Pantai Coogee pada Selasa dan pihak berkuasa sedang mengenal pasti objek apakah itu.
"Pantai Coogee ditutup sehingga diberitahu kelak dan pengunjung dinasihatkan jangan mengunjungi pantai terbabit sehingga diberitahu kelak dan tidak menyentuh bahan itu, sementara pembersihan dan siasatan diteruskan.
"Pada peringkat ini, tidak diketahui apakah benda itu, namun ia mungkin 'bola tar' yang terbentuk apabila minyak bersentuhan dengan sisa serpihan dan air, biasanya hasil daripada tumpahan minyak atau resapan," katanya.
Beratus-ratus bebola bersaiz bola golf hingga bola kriket kelihatan berselerakan di sepanjang pantai yang biasanya dipenuhi penduduk Sydney dan pelancong.
Beberapa burung camar yang berkeliaran dilihat mematuk untuk memeriksa bebola hitam itu.
Pantai itu masih ditutup pada Rabu walaupun terdapat usaha pembersihan sejak semalaman. Pantai lain yang berdekatan masih dibuka walaupun sedang dipantau.- AFP