PHILADELPHIA, 2 Februari- Pihak berkuasa udara Amerika Syarikat mengesahkan tragedi terbaharu pesawat terhempas di Philadelphia adalah membabitkan ambulans udara dan membawa enam warga Mexico yang disahkan maut dalam insiden berkenaan.
Kejadian terbaharu itu sekali gus menambah satu lagi insiden nahas udara di Amerika Syarikat selepas pertembungan pesawat penumpang dan helikopter tentera di Washington awal minggu ini.
Rakaman video menunjukkan pesawat berkembar enjin itu menjunam pada sudut curam ke kawasan perumahan, sebelum terbakar dan menyebabkan serpihan bertaburan ke atas rumah serta kenderaan berdekatan.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengesahkan pesawat itu merupakan Learjet 55, sebuah jet perniagaan buatan Amerika-Perancis, yang baru sahaja berlepas dari Lapangan Terbang Philadelphia Timur Laut menuju ke Branson, Missouri.
Nahas berlaku sekitar pukul 6.00 petang.
Menurut hospital kanak-kanak yang merawat salah seorang mangsa, seorang kanak-kanak perempuan yang berada di Amerika Syarikat untuk rawatan perubatan, ibunya, serta kru penerbangan dan perubatan yang mengiringinya turut terkorban dalam kejadian itu.
“Pesakit telah menerima rawatan di Shriners Children’s Philadelphia dan sedang dalam perjalanan pulang ke Mexico dengan pesawat ambulans udara yang disewa khas apabila nahas berlaku,” kata jurucakap hospital, Mel Bower.
Kementerian Luar Mexico mengesahkan semua enam individu dalam pesawat itu merupakan rakyat Mexico.
"Syarikat penerbangan... telah mengesahkan kepada konsulat bahawa enam individu warga Mexico berada dalam pesawat itu," menurut kenyataan kementerian di platform X.
Operator pesawat, Jet Rescue Air Ambulance, dalam satu kenyataan kepada media AS mengesahkan terdapat dua penumpang dan empat kru di dalam pesawat, sambil menambah, "Pada ketika ini, kami tidak dapat mengesahkan sebarang mangsa terselamat."
Puluhan anggota kecemasan berada di lokasi berhampiran Roosevelt Mall, sebuah pusat beli-belah di Philadelphia Timur Laut yang menempatkan pelbagai peruncit dan restoran.
Presiden AS, Donald Trump, dalam hantaran di platform Truth Social menyatakan rasa sedihnya terhadap kejadian itu. “Sedih melihat lebih banyak nyawa terkorban dalam tragedi Philadelphia ini,” katanya, sambil memuji usaha pasukan penyelamat dan menambah, “Semoga Tuhan memberkati anda semua.”
Saksi yang ditemu bual stesen televisyen tempatan mendakwa melihat bahagian tubuh manusia berhampiran serpihan pesawat, manakala Ahli Majlis Bandaraya Philadelphia, Mike Driscoll, menyuarakan kebimbangan bahawa penduduk atau individu di darat mungkin turut menjadi mangsa.
"Ia kelihatan buruk. Ini adalah situasi yang amat menyedihkan," katanya kepada CNN.
FAA mengesahkan pihaknya akan menjalankan siasatan bersama Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) bagi mengenal pasti punca nahas.-AFP