GENEVA, 1 Februari – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan terhadap laporan hukuman mati ekspres terhadap orang awam di Khartoum Utara yang didakwa dilakukan oleh tentera Sudan dan militan bersekutu.
Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk, menegaskan tindakan membunuh orang awam atau individu yang tidak lagi terlibat dalam konflik adalah jenayah perang.
“Dengan sengaja meragut nyawa orang awam atau sesiapa sahaja yang tidak atau tidak lagi terlibat secara langsung dalam permusuhan adalah satu jenayah perang,” katanya dalam satu kenyataan.
Perang antara tentera Sudan (SAF) dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) sejak April 2023 telah menyebabkan puluhan ribu kematian dan lebih 12 juta orang kehilangan tempat tinggal.
Konflik itu juga mendorong berjuta-juta rakyat Sudan ke ambang kebuluran.
Selepas hampir dua tahun kebuntuan di Khartoum, tentera Sudan minggu lalu berjaya memecahkan kepungan RSF di ibu pejabat Komando Am Khartoum.
Mereka juga merampas semula pangkalan Kor Isyarat di Khartoum Utara serta mengusir RSF dari loji penapisan minyak Jaili.
Pejabat hak asasi manusia PBB mengesahkan sekurang-kurangnya 18 orang, termasuk seorang wanita, terbunuh dalam tujuh insiden berasingan sejak 25 Januari.
“Kebanyakan mangsa berasal dari wilayah Darfur atau Kordofan,” menurut kenyataan itu.
Pejabat tersebut turut meneliti video yang tersebar pada Khamis, yang menunjukkan anggota SAF dan Briged Al Baraa Bin Malik membaca senarai panjang nama individu yang didakwa sebagai kolaborator RSF, sebelum menyebut ‘Zaili’, perkataan Arab yang bermaksud ‘dibunuh’, selepas setiap nama.
“Laporan mengenai hukuman mati ekspres ini amat membimbangkan dan tidak boleh menjadi satu kebiasaan,” tegas Turk.
PBB turut melahirkan kebimbangan terhadap ancaman keganasan yang semakin meningkat di Sudan.
Menurut satu video yang diteliti pejabat hak asasi manusia, seorang anggota Briged Al Baraa Bin Malik mengancam untuk “menyembelih” penduduk El Hadj Yusif di East Nile, Khartoum Utara.
Pejabat itu juga mengecam serangan RSF terhadap orang awam, termasuk serangan ke atas kem pelarian di El-Fasher, Darfur Utara, yang mengorbankan sembilan orang awam pada Rabu.
Pada 24 Januari, satu serangan dron ke atas hospital bersalin di El-Fasher, yang dikaitkan dengan RSF, mengorbankan sekurang-kurangnya 67 orang dan mencederakan 19 lagi.
“Serangan sengaja ke atas orang awam dan kemudahan awam adalah satu pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan boleh dikategorikan sebagai jenayah perang,” kata Turk.
Sementara itu, Majlis Keselamatan PBB pada Jumaat mengutuk peningkatan serangan RSF di El-Fasher dan menggesa gencatan senjata segera antara pihak yang bertelagah.-AFP