fb fb fb fb fb

Pesawat pejuang supersonik AS terhempas di New Mexico

Gambar fail pesawat F-16 Fighting Falcon/AFP

LOS ANGELES, 1 Mei- Sebuah pesawat pejuang milik tentera udara Amerika Syarikat (AS) terhempas di sebuah taman negara di New Mexico semalam, namun nahas tidak meragut sebarang nyawa.

Juruterbang membawa F-16 Fighting Falcon itu dilapor sempat keluar sebelum pesawat supersonik terbabit jatuh di Taman Negara White Sands.

Identiti mangsa yang sedang menerima rawatan itu bagaimanapun tidak didedahkan.

"Orang ramai atau kakitangan bukan kecemasan dinasihat agar menjauhi kawasan kemalangan untuk mengelak kemungkinan terdedah kepada bahan kimia berbahaya daripada pesawat.

"Siasatan oleh pihak bertauliah sedang dijalankan untuk menentukan punca kejadian," menurut kenyataan Pangkalan Tentera Udara Holloman.

Tambah kenyataan itu, nahas berkenaan juga tidak melibatkan mangsa lain kerana ia hanya dibawa oleh juruterbang ketika kejadian.

F-16 Fighting Falcon adalah pesawat supersonik bermesin tunggal yang dibina untuk kegunaan tentara AS pada tahun 1970-an

Beratus-ratus F-16 Fighting Falcon masih beroperasi. -AFP

SITI AISHAH MD ISA