fb fb fb fb fb

Operasi darat Israel di Rafah bakal jadi 'tragedi tidak terkata' - PBB

Kanak-kanak Gaza yang berlindung di Rafah akibat pengeboman Israel di bumi Gaza/AFP

GAZA, 1 Mei- Ketua kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Martin Griffiths memberi amaran bahawa operasi darat oleh tentera Israel di bandar Rafah di selatan Gaza akan menjadi 'tragedi yang tidak terkata'.

Kenyataan Griffiths itu dikeluarkan selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar untuk melancarkan serangan ke atas Rafah yang kini menjadi perlindungan kepada kira-kira 1.5 juta rakyat Palestin.

"Operasi darat di Rafah akan menjadi tragedi yang tidak dapat diungkapkan. Tiada sebarang rancangan atau bantuan kemanusiaan dapat memulihkannya," kata Griffiths dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu, Hamas ketika ini sedang mempertimbangkan tawaran Israel untuk melaksanakan gencatan senjata selama 40 hari dalam perang di Gaza sebagai pertukaran untuk pembebasan puluhan tebusan yang ditahan sejak 7 Oktober tahun lalu.

Delegasi Hamas yang kembali ke Qatar selepas rundingan terbaharu di Kaherah berkata, pihaknya akan membincangkan idea dan cadangan itu.

"Kami berminat untuk bertindak balas secepat mungkin," kata sumber Hamas kepada AFP semalam.

Menurut sumber Mesir yang dipetik Al-Qahera News, delegasi Hamas akan 'kembali dengan jawapan bertulis mengenai cadangan gencatan senjata'.

Selama berbulan-bulan, Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat cuba mendapatkan perjanjian baharu antara pejuang.

Gencatan senjata selama seminggu pada November menyaksikan 80 tebusan Israel ditukar dengan 240 warga Palestin yang ditahan di penjara Israel. -AFP

SITI AISHAH MD ISA