fb fb fb fb fb

Pesawat kargo tentera Turkiye C-130 terhempas di Georgia

FOTO REUTERS

GEORGIA, 11 November - Sebuah pesawat kargo tentera C-130 milik Turkiye yang membawa sekurang-kurangnya 20 anggota dilaporkan terhempas di Georgia selepas berlepas dari Azerbaijan pada Selasa, dengan pihak berkuasa menyatakan jumlah mangsa belum dapat dipastikan dan pasukan penyelamat sedang dihantar ke lokasi kejadian.

Presiden Turkiye, Tayyip Erdogan, menghentikan ucapannya di Ankara bagi menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa.

Erdogan, pejabatnya dan Kementerian Pertahanan Turki tidak menyatakan punca nahas serta bilangan mangsa. Media tempatan melaporkan, tanpa menyebut angka, pesawat itu membawa anggota tentera Turkiye dan Azerbaijan.

Kementerian Pertahanan Turkiye mengesahkan 20 anggota tenteranya berada di dalam pesawat termasuk kru penerbangan, namun tiada maklumat lanjut diberikan mengenai penumpang lain dari negara lain.

Agensi berita Georgia, Interpress, melaporkan pesawat itu terhempas di Sighnaghi, sebuah daerah di wilayah Kakheti, timur Georgia, bersempadan dengan Azerbaijan.

Lockheed Martin, firma Amerika Syarikat yang menghasilkan pesawat C-130 Hercules, tidak memberikan sebarang komen pada masa ini.

C-130 Hercules merupakan pesawat pengangkut tentera untuk kargo, anggota dan peralatan. Ia menggunakan empat enjin turboprop dan mampu berlepas serta mendarat di landasan yang tidak disediakan.

Rangka pesawat yang serbaguna membolehkan ia digunakan bagi pelbagai tujuan lain termasuk sebagai pesawat persenjataan, serangan udara serta operasi risikan dan pengangkutan taktikal. Pesawat tersebut kini menjadi antara pengangkut udara taktikal utama bagi banyak angkatan tentera di seluruh dunia.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE