fb fb fb fb fb

Dalang utama skim Ponzi di China dipenjara 11 tahun di Britain

Dalang utama skim Ponzi berskala besar di China, Qian Zhimin / REUTERS

LONDON, 11 November - Dalang utama skim Ponzi berskala besar di China dijatuhkan hukuman penjara lebih 11 tahun di Britain pada Selasa selepas didapati bersalah 'membersihkan' wang hasil penipuan dengan menukar keuntungan itu kepada mata wang kripto yang kini bernilai berbilion dolar.

Qian Zhimin sebelum ini mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan pengubahan wang haram pada September, selepas siasatan yang membawa kepada rampasan lebih 61,000 bitcoin oleh polis Britain, kini bernilai lebih AS$6 bilion dalam salah satu rampasan mata wang kripto terbesar pernah direkodkan.

Qian menangis di kandang tertuduh di Mahkamah Southwark Crown, London ketika Hakim Sally-Ann Hales berkata: “Anda merupakan perancang jenayah ini dari awal hingga akhir… motif anda hanyalah tamak haloba semata-mata.”

Qian, 47, menukar pengakuannya pada hari pertama perbicaraan, mengaku memiliki dan memindahkan harta jenayah. Sebelum ini, dia mendakwa dirinya menjadi sasaran tindakan keras kerajaan China terhadap usahawan kripto yang berjaya.

Menurut pihak pendakwa raya, Qian mengendalikan penipuan pelaburan antara 2014 hingga 2017 melibatkan sekitar 128,000 pelabur yang menyalurkan kira-kira 40 bilion renminbi (AS$5.62 bilion), dengan kira-kira 6 bilion daripadanya diseleweng. Lebih 80 individu telah disabitkan kesalahan di China.

Qian kemudian melarikan diri dari China melalui Myanmar, Thailand, Laos dan Malaysia sebelum terbang ke London menggunakan pasport St Kitts and Nevis. Di sana, dia mula cuba menukar bitcoin yang dibeli daripada hasil penipuan kepada wang tunai, menurut pendakwa raya.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE