(Pengawal berdiri di tepi rumah api di kawasan pelancongan di pulau Pingtan, paling dekat dengan Taiwan,
di wilayah Fujian tenggara China pada 6 April 2023/AFP)
TAIPEI, 6 April- Sebuah helikopter dan tiga kapal perang telah dikesan di sekitar perairan Taiwan, selepas Presiden Tsai Ing-wen bertemu Speaker Dewan Rakyat AS Kevin McCarthy di Los Angeles.
Perkara tersebut didedahkan Kementerian Pertahahanan Taiwan menerusi satu kenyataan.
"Satu pesawat PLA dan tiga buah kapal PLAN di sekitar Taiwan telah dikesan pada 6.00 pagi hari ini," kata kenyataan itu.
"Angkatan tentera telah memantau keadaan dan menugaskan pesawat CAP, kapal Tentera Laut, dan sistem peluru berpandu untuk bertindak balas terhadap aktiviti ini," tambahnya.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Tsai bertemu McCarthy di California dalam perjalanan pulang melawat Guatemala dan Belize, yang merupakan antara 13 sekutu diplomatik Taiwan.
China telah mengancam dengan tindak balas yang "tegas" terhadap mesyuarat itu.
(Jet pejuang Mirage di pangkalan tentera udara di Hsinchu, utara Taiwan
pada 6 April 2023/AFP)
Dalam pada itu, Majlis Hal Ehwal Tanah Besar Taipei (MAC), sebuah badan pembuat dasar terkemuka di pulau itu, menuduh Beijing "menghalang" perdagangan di Selat Taiwan dengan melakukan pemeriksaan di kawasan kapal kargo dan penumpang.
Pihak berkuasa maritim China sebelum ini berkata mereka meningkatkan rondaan di perairan yang memisahkan pulau itu dari tanah besar China tanpa memberikan butiran lanjut.
"Tindakan pihak China dengan sengaja telah meningkatkan ketegangan di selat tersebut," kata MAC.
"Ia jelas melanggar perjanjian perkapalan rentas selat dan amalan maritim yang akan memberi kesan buruk yang serius aliran perjalanan biasa antara kedua-dua belah pihak", kata MAC
Sementara itu, Kementerian Luar China mengecam pertemuan antara Speaker Dewan Rakyat Amerika Syarikat, Kevin McCarthy dengan presiden Taiwan Tsai Ing-wen di California
Kenyataan Kementerian Luar China menyebut, Beijing akan mengambil langkah tegas dan berkesan untuk menjaga kedaulatan negara dan integriti wilayahnya.
Ia sebagai tindak balas terhadap tindakan pakatan sulit antara Amerika Syarikat dengan Taiwan.
China mendakwa Taiwan sebagai wilayahnya dan menolak sebarang hubungan rasmi Taipei dengan negara lain.-AFP