fb fb fb fb fb

Pesara dituduh benarkan puluhan lelaki rogol isterinya selama 10 tahun

Suspek utama, Dominique P. (dua dari kiri) merupakan pesara syarikat tenaga milik kerajaan Perancis, EDF.

AVIGNON, 3 September- Seorang pesara Perancis dihadapkan ke mahkamah pada Isnin kerana membenarkan ramai lelaki merogol isterinya selepas beliau meracuninya dengan dadah, dalam kes yang  mengejutkan negara tersebut.

Lima puluh lelaki, yang direkrut secara dalam talian, juga dibicarakan di bandar selatan Avignon bersama suspek utama, seorang bekas pekerja berusia 71 tahun di syarikat tenaga milik kerajaan Perancis, EDF.

Menurut kiraan polis, sejumlah 92 kejadian rogol yang dilakukan oleh 72 lelaki, di mana 51 daripadanya telah dikenal pasti.

Lelaki-lelaki tersebut, berusia antara 26 hingga 74 tahun, dituduh merogol mangsa, wanita berusia 72 tahun yang menurut peguamnya, telah dibius sehingga begitu teruk sehingga dia tidak menyedari penderaan yang berlaku terhadapnya selama sedekad.

Hakim Roger Arata memutuskan semua perbicaraan akan dijalankan secara terbuka, memenuhi keinginan wanita tersebut untuk "liputan penuh sehingga akhir" kes mahkamah itu, menurut salah seorang peguamnya, Stephane Babonneau.

Walaupun begitu, perbicaraan tersebut akan menjadi satu penderitaan yang mengerikan untuknya, kata seorang lagi peguamnya, Antoine Camus.

"Buat pertama kali, dia (mangsa) perlu mengharungi semula kejadian rogol yang dialaminya selama 10 tahun," katanya kepada AFP, sambil menambah anak guamnya tidak ingat tentang penderaan tersebut.  Dia hanya mengetahuinya pada tahun 2020.

Wanita tersebut, yang tiba di mahkamah dengan sokongan daripada tiga anaknya, tidak mahu perbicaraan diadakan secara tertutup.

Polis mula menyiasat defendan, Dominique P., pada September 2020 apabila beliau ditangkap oleh pengawal keselamatan kerana secara rahsia merakam di bawah kain tiga wanita di sebuah pusat membeli-belah.

Polis kemudiannya mendapati ratusan gambar dan video isterinya dalam komputer Dominique, di mana wanita tersebut kelihatan tidak sedarkan diri dan kebanyakannya dalam posisi janin.

Gambar-gambar tersebut dikatakan menunjukkan puluhan kejadian rogol yang berlaku di rumah pasangan itu di Mazan, sebuah kampung dengan 6,000 penduduk yang terletak kira-kira 33 kilometer (21 batu) dari Avignon di Provence.

Penyiasat juga menemui perbualan di laman web coco.fr, yang kini telah ditutup oleh polis, di mana Dominique merekrut orang asing untuk datang ke rumah mereka dan melakukan hubungan seks dengan isterinya.

Dominique P. mengaku kepada penyiasat bahawa beliau memberi isterinya ubat penenang yang kuat, terutamanya Temesta, ubat yang mengurangkan kebimbangan.

Penderaan itu bermula pada tahun 2011, ketika pasangan itu tinggal berhampiran Paris, dan berterusan selepas mereka berpindah ke Mazan dua tahun kemudian.

Lelaki tersebut turut terlibat dalam kejadian rogol, merakamnya, dan menggalakkan lelaki-lelaki lain menggunakan bahasa yang menghina, menurut pendakwa raya.

Kejadian tersebut bagaimanapun tidak memababitkan sebarang bayaran.

Antara yang dituduh merogol termasuk seorang pemandu forklift, pegawai bomba, seorang ketua syarikat, dan seorang wartawan.

Ada yang bujang, ada yang berkahwin atau bercerai. Kebanyakan mereka hanya mengambil bahagian sekali, tetapi ada yang terlibat sehingga enam kali.

Ramai yang berkata mereka menyangka mereka hanya membantu pasangan tersebut memenuhi fantasi mereka, tetapi Dominique P. memberitahu penyiasat bahawa kesemua mereka tahu bahawa isterinya telah diberi ubat tanpa pengetahuannya.

Seorang pakar menyatakan bahawa keadaan wanita tersebut "lebih dekat kepada koma berbanding tidur."

Suaminya memberitahu pendakwa bahawa hanya tiga lelaki berbubah fikiran selepas tiba di rumahnya, manakala yang lain meneruskan hubungan seks dengan isterinya.

Dominique P., yang mendakwa telah dirogol oleh seorang jururawat lelaki ketika berusia sembilan tahun, bersedia untuk berhadapan dengan keluarganya dan isterinya, menurut peguamnya, Beatrice Zavarro, kepada AFP.

Perbicaraan itu mungkin bukan yang terakhir baginya.

Dia juga telah didakwa atas tuduhan membunuh dan merogol pada tahun 1991, yang dinafikannya, serta cubaan rogol pada tahun 1999, yang diakuinya selepas ujian DNA dilakukan.

Pakar-pakar berkata lelaki itu tidak kelihatan mengalami penyakit mental, tetapi dalam dokumen yang dilihat oleh AFP, mereka menyatakan bahawa dia mempunyai keperluan untuk merasakan "kuasa mutlak" ke atas tubuh wanita.

Perbicaraan dijadualkan berlangsung sehingga 20 Disember.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE