fb fb fb fb fb

Perubahan iklim ancam industri aprikot di Tajikistan

Foto AFP

ISFARA, 16 Julai – Petani aprikot Tajikistan, Uktam Kuziev meluahkan kebimbangan terhadap masa depan industri pertanian di negaranya apabila perubahan iklim semakin menjejaskan hasil tuaian buah-buahan penting khususnya aprikot yang menjadi sumber pendapatan utama penduduk luar bandar.

Wilayah Asia Tengah termasuk Tajikistan kini dikenal pasti sebagai antara rantau paling terdedah terhadap kesan perubahan iklim oleh pelbagai badan antarabangsa dengan komuniti petani miskin dan luar bandar paling berisiko menghadapi impaknya.

Kuziev, 72, merupakan salah seorang daripada lebih 100,000 individu yang bergantung kepada industri aprikot di Tajikistan, di mana ia juga merupakan satu pekerjaan tradisi.

Menurut data Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), sekitar 10 peratus daripada semua ladang aprikot di dunia terletak di Tajikistan, menjadikan negara ini hab penting dalam pengeluaran buah berkenaan.

Namun, musim sejuk yang semakin panas, pencairan glasier, fros lewat dan kekurangan air kini menjadi cabaran utama kepada penanaman aprikot khususnya di wilayah Isfara, yang digelar sebagai 'ibu kota aprikot' negara itu.

“Tahun lalu, sebahagian tanah bertukar menjadi seperti padang pasir akibat kekurangan air. Tanah merekah dan pokok aprikot kering kerana tidak disiram,” kata Kuziev kepada AFP.

Bank Dunia turut mengesahkan bahawa aprikot merupakan tanaman yang sangat terdedah kepada kesan perubahan iklim, disebabkan oleh kenaikan suhu, perubahan corak hujan dan peningkatan cuaca ekstrem.

Situasi ini menimbulkan kebimbangan di kalangan pakar bahawa tanaman tradisional seperti aprikot mungkin tidak lagi lestari, sekiranya tiada pelan penyesuaian iklim dan pengurusan sumber air yang berkesan dilaksanakan. -AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN