REYKJAVIK, 16 Julai – Sebuah gunung berapi di Semenanjung Reykjanes, barat daya Iceland, dikesan meletus pada Rabu, menurut pihak berkuasa tempatan.
Ia merupakan letusan terbaharu dalam siri aktiviti gunung berapi yang semakin kerap berlaku sejak beberapa tahun lalu.
Paparan imej menunjukkan asap tebal dan aliran lahar kuning serta jingga panas memancar keluar dari rekahan bumi.
Negara pulau di Atlantik Utara ini sering digelar "tanah ais dan api" kerana memiliki banyak glasier dan gunung berapi aktif, dan ianya sudah mencatatkan sebanyak 12 letusan sejak sistem geologi di Semenanjung Reykjanes mula aktif semula pada tahun 2021.
Letusan yang berlaku dikenali sebagai letusan rekahan, di mana aliran lava keluar dari rekahan panjang di kerak bumi dan bukannya dari kawah utama seperti letusan tradisional.
Setakat ini, siri letusan di Reykjanes tidak menimbulkan ancaman kepada ibu negara Reykjavik dan tidak menghasilkan abu yang banyak untuk menjejaskan lapisan stratosfera, sekali gus tidak mengganggu operasi penerbangan udara.
Pakar geologi terus memantau rapi aktiviti gunung berapi di kawasan tersebut yang kini dilihat sebagai zon aktif baharu selepas hampir 800 tahun dalam keadaan senyap. -REUTERS