fb fb fb fb fb

20 maut di pusat agihan bantuan Yayasan Kemanusiaan Gaza

Foto AFP

GAZA, 16 Julai - Sekurang-kurangnya 20 orang dilaporkan maut dalam satu insiden di pusat agihan bantuan di Khan Yunis, selatan wilayah Palestin, pada Rabu.

Menurut kenyataan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), seramai 19 mangsa dipercayai maut akibat dipijak, manakala seorang lagi meninggal dunia akibat ditikam dalam suasana huru-hara dan tidak terkawal.

Bagaimanapun, sumber perubatan di Hospital Nasser, Khan Yunis memaklumkan bahawa hospital berkenaan hanya menerima sembilan mayat, termasuk beberapa kanak-kanak.

Menurut sumber itu, kesemua mangsa ditembak selepas tentera Israel melepaskan tembakan ke arah pusat agihan berkenaan.

Ketika kejadian, mangsa dilaporkan sedang menuju ke pusat agihan bantuan di barat laut Rafah untuk mendapatkan bekalan makanan.

Namun, pintu utama pusat berkenaan didapati ditutup.

“Tentera Israel dan anggota keselamatan pusat itu telah melepaskan tembakan ke arah orang ramai, menyebabkan ramai yang terbunuh dan cedera,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, agensi pertahanan awam Gaza turut melaporkan lapan lagi individu terbunuh dalam serangan udara yang dilancarkan tentera Israel di seluruh wilayah Palestin pada hari yang sama, termasuk enam mangsa di Gaza City.-AFP

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI