MENTAWAI, 16 Julai - Seramai 17 orang dilaporkan selamat selepas sebuah bot laju karam di perairan Selat Sipora, Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat pada pagi Isnin.
Misi pencarian seorang lagi mangsa yang masih hilang sedang giat dijalankan.
Menurut laporan awal, bot tersebut yang membawa 18 penumpang, termasuk beberapa kanak-kanak, telah berlepas dari Pulau Sikakap sekitar pukul 8.00 pagi waktu tempatan dan karam kira-kira tiga jam kemudian ketika dalam perjalanan menuju ke Pulau Sipora.
Susulan kejadian itu, seramai 11 individu pada awalnya dilaporkan hilang.
Bagaimanapun, sehingga pagi Selasa, 10 daripada mereka ditemukan dalam keadaan selamat.
Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat Kepulauan Mentawai, Rudi Ihu berkata, kebanyakan mangsa yang selamat berjaya berenang ke pantai beberapa pulau berhampiran.
Beliau turut menjelaskan berdasarkan maklumat awal dan keterangan mangsa, insiden dipercayai berpunca daripada keadaan cuaca buruk, dengan ombak besar menghempas bot berkenaan sehingga menyebabkan ia terbalik.-REUTERS