fb fb fb fb fb

Sekurang-kurangnya 12 cedera dalam serangan Rusia ke atas Ukraine

Seorang wanita menunggang basikal berdekatan bangunan yang rosak akibat serangan Rusia di Orikhiv, wilayah Zaporizhzhia, Ukraine/ Foto AFP

KIEV, 16 Julai – Sekurang-kurangnya 12 orang cedera dalam serangan udara oleh Rusia ke atas Ukraine pada malam Selasa, menurut pihak berkuasa tempatan pada Rabu.

Ia berlaku hanya sehari selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memberikan Moscow tempoh 50 hari untuk memeterai perjanjian damai dengan Ukraine.

Menurut Pentadbiran Tentera Wilayah Vinnytsia, lapan orang cedera dalam serangan ke atas kawasan tengah Ukraine.

Di Kharkiv, wilayah kedua terbesar negara itu, tiga orang turut cedera, menurut gabenor wilayah, Oleg Synegubov, menerusi hantaran di Telegram.

Sementara itu di Kryvyi Rih, kampung halaman Presiden Volodymyr Zelensky, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun parah selepas serangan peluru berpandu dan dron Rusia memusnahkan sebuah bangunan industri di kawasan selatan-tengah bandar tersebut.

“Perkara seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini, satu peluru berpandu balistik dan 28 dron Shahed dilancarkan serentak,” jelas Datuk Bandar Kryvyi Rih, Oleksandr Vilkul dalam satu hantaran di Telegram. Beliau mengesahkan remaja itu mengalami kecederaan di bahagian abdomen dan sedang menerima rawatan.

Pada Selasa, tiga orang terbunuh dalam serangan di timur Ukraine, menurut kenyataan pihak berkuasa tempatan.

Rusia kini memperhebatkan kempen serangan musim panasnya, terutama di wilayah timur, ketika rundingan gencatan senjata yang diketuai Washington masih tergendala. -AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN