fb fb fb fb fb

Peru dikecam, larang pesawat bawa pasukan bola sepak Venezuela isi minyak

Foto AFP

CARACAS, 23 November- Kerajaan Venezuela pada Rabu mengecam tindakan Peru yang didakwa tidak membenarkan pesawat yang membawa pasukan bola sepaknya untuk mengisi minyak.

Insiden itu berlaku pada Selasa selepas perlawanan bola sepak yang kontroversi selepas kedua-dua pasukan seri 1-1 pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026 yang berlangsung di Stadium Nasional Peru.

Selain itu, pemain Venezuela, Nahuel Ferraresi memberitahu media tempatan bahawa jari tangan kirinya mengalami kecederaan setelah dipukul dua kali oleh seorang pegawai polis Peru yang memegang tongkat, ketika dia cuba menghampiri penyokong Venezuela selepas tamat perlawanan.

Menteri Luar Venezuela, Yvan Gil menegaskan bahawa Peru telah melakukan satu tindakan tidak profesional terhadap Venezuela dan menunjukkan unsur xenophobia terhadap rakyatnya.

"Ini adalah 'penculikan' sebagai membalas dendam terhadap pasukan kami yang bermain secara luar biasa di Lima," kata Gil.

Pesawat syarikat penerbangan Rutaca itu akhirnya memulakan perjalanannya pada pukul 2.53 petang waktu tempatan hari Rabu selepas ditangguh selama hampir empat jam.

Bagaimanapun, kelewatan yang berlaku adalah atas sebab pentadbiran semata-mata yang berkait dengan bekalan bahan api, jelas syarikat yang mengendalikan Lapangan Terbang Antarabangsa Jorge Chavez di Lima itu.

Sementara itu, Presiden Venezuela, Nicolas Maduro berkata bahawa Peru telah memainkan sentimen xenophobia terhadap rakyatnya dan beliau mendesak perkara itu dihentikan termasuk isu keganasan dan pencerobohan.

Beliau turut mengkritik semakan terhadap pematuhan kemasukan penonton Venezuela ke stadium.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM