GYEONGJU, 1 November - Perdana Menteri Kanada, Mark Carney bersetuju untuk melakukan lawatan rasmi ke China selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden China Xi Jinping pada Jumaat.
Peretemuan itu dilihat sebagai titik perubahan penting namun belum menzahirkan sebarang kemajuan ketara dalam isu perdagangan.
Ia berlangsung di sela-sela Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2025 di Gyeongju, Korea Selatan, yang merupakan sebahagian daripada lawatan Carney ke Asia bagi memperkukuh hubungan perdagangan dan keselamatan serantau, selaras dengan usaha Kanada mengurangkan kebergantungan terhadap Amerika Syarikat.
Menurut laporan penyiar rasmi China, CCTV, Xi Jinping menyatakan bahawa negara itu menghargai kesediaan Kanada untuk memperbaiki hubungan dua hala, sambil menegaskan kesediaan Beijing bekerjasama dengan Ottawa bagi mengembalikan hubungan ke landasan positif.
Pejabat Perdana Menteri Kanada memaklumkan, kedua-dua pemimpin turut membincangkan isu perdagangan termasuk sektor pertanian dan agro-makanan seperti kanola, hasil laut, dan kenderaan elektrik.
Dalam perkembangan berasingan, Xi Jinping turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, dan menyatakan kesediaan China untuk berkongsi pengalaman pembangunan serta menggesa agar projek pembinaan landasan kereta api antara kedua-dua negara dipercepatkan, selain memperhebat usaha membanteras jenayah rentas sempadan.- REUTERS