fb fb fb fb fb

Rusia, Ukraine saling dakwa capai kejayaan di medan perang

Foto REUTERS

MOSCOW, 1 November – Rusia dan Ukraine terus saling mendakwa mencapai kejayaan ketenteraan masing-masing ketika pertempuran antara kedua-dua pihak berlarutan di beberapa kawasan utama timur dan selatan Ukraine.

Dalam laporan mingguan bagi tempoh 25 hingga 31 Oktober, Kementerian Pertahanan Rusia memaklumkan pasukannya melancarkan serangan ke atas tapak industri pertahanan, pangkalan udara tentera, depot senjata serta infrastruktur tenaga milik Ukraine.

Menurut kenyataan itu, unit pertahanan udara Rusia berjaya memintas dan memusnahkan 17 bom berpandu udara milik Ukraine, 10 roket HIMARS buatan Amerika Syarikat, dua peluru berpandu jarak jauh Neptune serta lebih 1,700 dron.

Sementara itu, Ketua Turus Angkatan Tentera Ukraine dalam laporan hariannya menyatakan pasukan negara itu telah menyerang tujuh kawasan tumpuan anggota, senjata dan peralatan tentera Rusia.

Ukraine turut mendakwa berjaya memusnahkan beberapa kenderaan perisai dan sistem artileri Rusia, selain menangkis serangan di beberapa arah termasuk di Pokrovsk.

Pertempuran antara kedua-dua negara terus berlanjutan tanpa tanda-tanda reda, dengan kedua-dua pihak kekal mempertahankan kedudukan masing-masing di barisan hadapan. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN