fb fb fb fb fb

Permintaan emas global catat rekod tertinggi, didorong lonjakan pelaburan

Foto REUTERS

KUALA LUMPUR, 1 November – Permintaan emas global melonjak ke paras tertinggi sepanjang masa pada suku ketiga tahun ini, dipacu peningkatan pelaburan dan harga emas yang terus mencatat rekod baharu, menurut laporan Majlis Emas Dunia (WGC).

Bagi tempoh Julai hingga September, jumlah permintaan meningkat 3 peratus kepada 1,313 tan, manakala nilainya naik 44 peratus kepada AS$146 bilion, tertinggi pernah direkodkan untuk satu suku tahun.

Pelaburan emas global menjadi pemacu utama, meningkat 47 peratus kepada 537 tan dan merangkumi lebih separuh daripada jumlah permintaan keseluruhan.

Pegangan dana dagangan bursa (ETF) berasaskan emas turut bertambah sebanyak 222 tan, sementara pelaburan fizikal seperti jongkong dan syiling kekal tinggi.

Harga emas di COMEX meningkat 17.1 peratus pada suku ketiga kepada AS$3,873.2 satu auns, sebelum menembusi paras AS$4,000 dan mencapai rekod tertinggi AS$4,392 pada 20 Oktober.

Sementara itu, bank-bank pusat dunia terus menambah simpanan emas dengan pembelian bersih 220 tan, meningkat 28 peratus berbanding suku sebelumnya.

Bagaimanapun, permintaan perhiasan emas menurun kepada 371 tan, meskipun nilai penggunaan meningkat 13 peratus kepada AS$41 bilion.

Menurut penganalisis Majlis Emas Dunia, peningkatan itu didorong oleh ketegangan geopolitik, tekanan inflasi, serta jangkaan pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS yang terus mengukuhkan minat terhadap emas sebagai aset selamat. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN