GAZA, 11 Disember- Pertempuran antara Hamas dan Israel semakin memuncak di seluruh Gaza. Ia mencetuskan kebimbangan kepada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai ketenteraman awam dan pemindahan besar-besaran penduduk Palestin ke Mesir.
Israel mengenakan sekatan penuh di kawasan itu sejak permulaan konflik lebih dua bulan lalu dan sempadan Mesir merupakan satu-satunya jalan keluar.
Kira-kira 2.3 juta penduduk Gaza dihalau dari kediaman mereka dan penduduk berkata mustahil untuk mencari perlindungan di kawasan yang padat dengan penduduk, dengan kira-kira 18,000 penduduk terbunuh berikutan konflik semakin meruncing.
Sejak tamatnya gencatan senjata, Israel mula melancarkan serangan darat di selatan Gaza dan sejak itu ia memaksa penghijrahan penduduk Palestin dari timur ke tengah-tengah bandar utama Khan Younis.
Tentera Hamas dan beberapa penduduk menghalang kereta kebal Israel dari memasuki bandar itu. Berlaku juga pertempuran sengit di bahagian utara Gaza.
Di Jabalia, utara Gaza, rakyat Palestin menyelamatkan diri daripada pengeboman yang dilepas oleh Israel ke atas khemah dan rumah berdekatan.
Pegawai PBB berkata 1.9 juta penduduk kira-kira 85 peratus penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dan kini Israel mula menyerang mereka di kawasan selatan.
Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, tidak berjaya mendesak lanjutan gencatan senjata di Gaza.
"Saya menjangkakan ketenteraman awam akan musnah sepenuhnya dan keadaan akan bertambah lebih buruk selain peningkatan penyakit," katanya pada persidangan antarabangsa di Qatar.- REUTERS