fb fb fb fb fb

Pertempuran di Khan Yunis, lebih 180,000 penduduk melarikan diri

Foto AFP

KHAN YUNIS, 27 Julai- Lebih 180,000 penduduk sekitar Khan Yunis, selatan Gaza terpaksa meninggalkan kawasan tersebut dalam tempoh empat hari, menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), susulan pertempuran sengit yang tercetus antara pejuang Hamas dengan tentera Israel.

Pertempuran tercetus selepas tentera Israel menceroboh wilayah tersebut yang didakwa bagi mengeluarkan mayat tebusan yang diculik Hamas.

Menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), pertempuran yang semakin sengit di kawasan itu, mencetuskan gelombang baharu perpindahan dalaman di seluruh Gaza.

OCHA berkata kira-kira 182,000 orang telah dipindahkan dari tengah dan timur Khan Yunis antara Isnin hingga Khamis dan beratus-ratus orang terkandas di timur Khan Yunis.

Isnin lalu, tentera Israel mengarahkan pemindahan sebahagian penduduk bandar Gaza termasuk di kawasan yang sebelum ini diisytiharkan sebagai zon selamat.

Rabu lalu, Israel mendakwa telah menemui lima mayat tawanan yang dirampas semasa serangan Hamas pada Oktober lalu, di kawasan itu.

Ketua tentera Israel, Leftenan Jeneral Herzi Halevi berkata mayat tawanan ditarik dari terowong bawah tanah dan dinding di tempat tersembunyi.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Wilayah kendalian Hamas berkata sekurang-kurangnya 39,175 rakyat Palestin di Gaza terkorban.

Menurut PBB, sebahagian besar daripada 2.4 juta penduduk Gaza telah kehilangan tempat tinggal akibat konflik Israel-Palestin.-AFP

ROSLINA BINTI DIN