BAGHDAD, 30 Ogos- Pertempuran di Baghdad mengorbankan hampir 20 orang selepas ulama berpengaruh Syiah, Moqtada Al-Sadr mengumumkan akan berhenti daripada politik.
Tindakan tersebut mendorong penyokong setianya menyerbu istana kerajaan.
Menurut polis dan pasukan perubatan, sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dan ramai lagi cedera.
Pertempuran menyaksikan letupan dan tembakan dilepaskan ke udara di kawasan Zon Hijau yang menempatkan ibu pejabat kerajaan dan kedutaan asing.
(Penyokong Moqtada Al-Sadr mengadakan tunjuk perasaan dan bertempur dengan polis antirusuhan)
Ia merupakan pertempuran terburuk di ibu kota Iraq itu sejak beberapa tahun lalu.
Keputusan Sadr merupakan tindak balas terhadap kegagalan pemimpin dan parti Syiah lain untuk melakukan reformasi sistem pemerintahan yang diancam rasuah dan lemah.
Sadr kemudian memaklumkan akan mengadakan mogok lapar sebagai protes terhadap penggunaan senjata oleh semua pihak.
Tentera Iraq mengisytiharkan perintah berkurung di seluruh negara dan menggesa penunjuk perasaan meninggalkan Zon Hijau.