fb fb fb fb fb

Pertempuran di India tercetus ketika perarakan agama Hindu

NEW DELHI, 17 April- Pertempuran yang berlaku ketika perarakan agama Hindu semalam mengakibatkan beberapa orang cedera termasuk anggota polis.

Demikian menurut pihak polis beberapa hari selepas insiden keganasan yang turut berkait dengan agama berlaku di tiga negeri.

Beberapa orang saksi berkata, keganasan tercetus antara orang Islam dan Hindu ketika perarakan di Jahangirpuri, pinggir bandar New Delhi.

Polis berkata, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden berkenaan.

"Kami masih menilai berapa ramai yang cedera, selain beberapa anggota polis turut tercedera," kata seorang pegawai polis di Jahangirpuri, Deependra Pathak.

Keganasan berlaku ketika perarakan bersempena perayaan Hindu, Hanuman Jayanti, kata polis tanpa memberikan butiran lanjut.

Semalam, penunjuk perasaan di New Delhi melaungkan slogan terhadap kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Narendra Modi.

Ini susulan dakwaan yang menyatakan umat Islam menjadi sasaran keganasan oleh pihak berkuasa selepas pertempuran Hindu-Muslim di beberapa bahagian membabitkan tiga negeri yang diperintah parti nasionalis Hindu, pimpinan Modi.

(Keadaan di Jahangirpuri selepas pertempuran berlaku. /AFP)

Pertempuran pada Ahad lalu yang berlaku ketika perayaan agama mendorong polis mengenakan perintah berkurung di sebuah bandar, selain mengharamkan perhimpunan lebih daripada empat orang di beberapa bahagian negeri.

Pihak berkuasa tempatan juga bertindak merobohkan rumah dan kedai yang disyaki milik perusuh Islam di tengah negeri Madhya Pradesh selepas keganasan yang tercetus ketika festival Hindu, Ram Navami, menurut seorang pegawai polis yang enggan namanya didedahkan.

Polis dan pihak berkuasa tempatan memberitahu Reuters selepas pertempuran berlaku, mereka bebas daripada bersikap berat sebelah dan bertindak mengikut undang-undang.

Ahli politik pembangkang menuduh parti nasionalis Hindu yang juga sayap kanan Modi, Bharatiya Janata Party (BJP) mencetuskan ketegangan di antara majoriti Hindu dan Muslim di negeri yang diperintah. -REUTERS

Media Baharu