SEOUL, 17 April- Korea Utara telah menguji sistem senjata baharu, di bawah pengawasan pemimpin Kim Jong Un, yang didakwa akan meningkatkan kecekapan senjata nuklear taktikalnya.
"Senjata berpandu taktikal jenis baharu amat penting dalam meningkatkan kuasa tembakan unit artileri jarak jauh barisan hadapan dan meningkatkan kecekapan dalam operasi nuklear taktikal," lapor Agensi Berita Pusat Korea rasmi, hari ini.
Ujian itu dilakukan berdasarkan arahan Jong Un kepada pasukan penyelidikan tentera untuk meningkatkan lagi keupayaan pertahanan dan pasukan tempur nuklear.
Jumaat lalu, Korea Utara menyambut hari kelahiran pemimpin Korea Utara, Kim Kim Il Sung, dengan perarakan awam yang besar, bunga api dan tarian.
Penganalisis serta pegawai Korea Selatan dan Amerika Syarikat juga berpendapat ujian nuklear itu berkemungkinan dilakukan ketika sambutan berkenaan.
Sambutan ulang tahun itu diadakan tiga minggu selepas Korea Utara mengadakan ujian peluru berpandu balistik antara benua terbesar, sejak pertama kali senjata paling berkuasa Jong Un diuji pada 2017.
Dalam pada itu, penganalisis Korea Utara menjangkakan ujian nuklear ketujuh mungkin akan dilaksanakan beberapa minggu akan datang.
Imej satelit telah menunjukkan terdapat aktiviti terbaharu di terowong tapak ujian nuklear Punggye-ri.
(Reaksi Kim Jong Un selepas ujian senjata dilakukan. /AFP)
Korea Utara telah menguji senjata nuklear enam kali sejak 2006 dan menggembar-gemburkan kejayaan yang terakhir dan paling berkuasa pada 2017, iaitu bom hidrogen dengan anggaran hasil 250 kiloton.
Dengan ujian nuklear baharu, pakar berkata Pyongyang akan berusaha untuk mengecilkan kepala peledak nuklear untuk dipasang pada ICBMnya.
Pegawai Korea Selatan berkata Pyongyang masih boleh mengadakan perarakan tentera atau menjalankan ujian senjata pada atau sekitar 25 April, ulang tahun penubuhan Tentera Rakyat Korea.
Ulang tahun itu bertepatan dengan latihan ketenteraan bersama antara Seoul dan Washington, yang akan bermula Isnin depan.
Korea Selatan dan Amerika Syarikat kerap mengadakan latihan ketenteraan, namun Pyongyang membantah latihan itu sebagai latihan perang. -AFP