THAILAND, 12 Januari - Syarat kelayakan menjadi warganegara Thailand kini lebih sukar dan mahal apabila pemohon diwajibkan lulus ujian bahasa Thai.
Ia sama sekali berbeza dengan peraturan sebelum ini yang mana pemohon hanya dikehendaki mempunyai pengetahuan berbahasa Thai.
Perkara itu diumumkan oleh Timbalan jurucakap kerajaan, Rachada Dhna-direk.
Menurutnya, pemohon perlu mengemukakan sijil yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan sebagai bukti mereka mendapat pendidikan sekurang-kurangnya di sekolah rendah di Thailand.
Selain itu katanya, Kabinet Thailand turut bersetuju menggandakan yuran permohonan bagi kategori dewasa daripada 5,000 baht kepada 10,000 baht.
Malah, yuran permohonan bagi kanak-kanak turut meningkat daripada 2,500 baht kepada 5,000 baht.
Antara kelebihan memiliki kewarganegaraan Thai termasuk memiliki harta, bekerja tanpa permit kerja dan visa serta memiliki saham dalam syarikat Thailand.