ABU DHABI, 3 November - Permintaan minyak dunia dijangka kekal melebihi 100 juta tong sehari selepas tahun 2040.
Ketua Pegawai Eksekutif syarikat minyak gergasi Emiriah Arab Bersatu (UAE), ADNOC, Sultan Al Jaber yang mengesah perkara itu mengakui terdapat cabaran dalam tempoh terdekat.
UAE merupakan antara lapan negara anggota OPEC+ yang bersetuju untuk meningkatkan sasaran pengeluaran bagi bulan Disember, namun menangguhkan sebarang kenaikan pada suku pertama tahun depan.
Kumpulan pengeluar itu menyemak semula rancangan untuk menguasai semula pasaran kerana kebimbangan terhadap lambakan bekalan.
Sekatan baharu Barat ke atas Rusia yang merupakan anggota OPEC+, turut menjejaskan strategi kumpulan itu.
Sultan Al Jaber menegaskan prospek jangka panjang menunjukkan pertumbuhan permintaan tenaga global akan berterusan, sambil menekankan kawalan kos perlu seimbang dengan pelaburan modal.
“Walaupun mungkin berdepan cabaran ekonomi dalam bulan-bulan mendatang, prospek jangka panjang menunjukkan pertumbuhan permintaan bagi setiap bentuk tenaga pada setiap pasaran,” katanya.
OPEC+ sebelum ini memberikan UAE kuota pengeluaran lebih tinggi tahun ini, selepas negara itu menyuarakan kumpulan berkenaan terlalu mengehadkan pengeluaran, sedangkan UAE telah meningkatkan pelaburan dengan kapasiti daripada 3 juta tong sehari kepada 4.85 juta tong sehari.
Menteri Tenaga UAE turut menyatakan negaranya mampu meningkatkan lagi kapasiti minyak selepas tahun 2027 jika pasaran memerlukannya, sekali gus berpotensi menjadikan UAE antara lima pengeluar minyak terbesar dunia. -REUTERS