fb fb fb fb fb

Beribu-ribu dipindahkan sebelum Taufan Kalmaegi melanda Filipina

Anggota Pengawal Pantai membantu memindahkan penduduk di bandar Guiuan, wilayah Eastern Samar, tengah Filipina menjelang pendaratan Taufan Kalmaegi/AFP

MANILA, 3 November - Beribu-ribu penduduk dipindahkan di wilayah pantai Filipina sebagai persediaan Taufan Kalmaegi yang dijangka membadai kawasan itu.

Menurut perkhidmatan cuaca negara, Taufan Kalmaegi dijangka melanda Pulau Leyte dengan membawa angin berkelajuan 120 kilometer sejam dan ribut kencang sehingga 150 kilometer sejam.

“Pemindahan sedang dijalankan di Palo dan Tanauan,” kata pegawai bencana Leyte, Roel Montesa, merujuk kepada dua bandar yang teruk dilanda ombak besar pada 2013 ketika Super Taufan Haiyan meragut lebih 6,000 nyawa.

Ribuan penduduk turut dipindahkan di pulau berhampiran Samar sejak semalam.

Menurut pegawai pertahanan awam Randy Nicart, ombak setinggi tiga meter dijangka melanda kawasan itu.

“Beberapa kerajaan tempatan turut melaksanakan pemindahan, termasuk di bandar Guiuan, lokasi dijangka taufan itu akan melanda,” katanya.

Filipina dilanda secara purata 20 siri ribut dan taufan setiap tahun, yang sering menjejaskan kawasan berisiko tinggi dengan jutaan penduduk hidup dalam kemiskinan.

Di wilayah Dinagat Islands yang terletak di selatan Leyte, Gabenor Nilo Demerey berkata antara 10,000 hingga 15,000 penduduk telah dipindahkan lebih awal ke kawasan selamat.

“Kami telah melaksanakan pemindahan awal sejak dua hari lalu, sementara masih ada masa,” katanya.

Para saintis memberi amaran bahawa ribut kini menjadi semakin kuat akibat perubahan iklim yang didorong oleh aktiviti manusia.

Pada September lalu, Filipina dilanda dua ribut besar termasuk Super Taufan Ragasa yang menumbangkan pokok, merosakkan bumbung bangunan. -AFP

SITI AISHA MELISA YUHANIZ