KATHMANDU, 3 November - Mahkamah Agung Nepal mengarahkan penangguhan keputusan kerajaan untuk menarik balik seramai 11 duta negara itu, sekali gus menjadi tamparan kepada Perdana Menteri Sushila Karki dan kerajaan sementaranya.
Karki yang juga bekas ketua hakim negara dilantik sebagai Perdana Menteri wanita pertama Nepal pada September lalu, menarik balik pelantikan duta tersebut yang sebelum ini dilantik oleh pendahulunya K.P. Sharma Oli.
Kerajaan mendakwa tidak berpuas hati dengan prestasi mereka, namun peguam Ananta Raj Luitel, yang mencabar keputusan itu berkata kerajaan gagal membuktikan tuduhan tersebut di mahkamah.
"Semua duta yang terlibat akan terus menjalankan tugas seperti biasa," kata Luitel yang mencabar keputusan Karki.
Sementara Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat, Jagdish Kharel, berkata kerajaan akan menghormati keputusan Mahkamah Agung.
Karki kini bertanggungjawab mengadakan pilihan raya baharu bagi Dewan Rendah Parlimen sebelum 5 Mac.
Beliau telah melantik kabinet kecil terdiri daripada tokoh reformis berhaluan antirasuah.
Penganalisis politik Puranjan Acharya menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai tamparan politik kepada Karki, namun percaya ia akan membantu beliau mengurangkan tekanan daripada kumpulan penentang pada masa depan.
Karki kini turut berdepan desakan daripada penunjuk perasaan Gen Z untuk memecat beberapa pegawai kanan lain, termasuk ketua badan antirasuah yang juga dilantik oleh Oli.
Gelombang protes yang diketuai generasi muda pada awal September lalu menyebabkan 76 orang terkorban dan lebih 1,300 cedera. -REUTERS