MAZAR-I SHARIF, 3 November - Sekurang-kurangnya 13 orang lagi dilaporkan terbunuh susulan gempa bumi berukuran 6.3 pada skala richter yang menggegarkan Afghanistan awal pagi Isnin.
Sekali gus menjadikan angka korban gempa di utara negara itu kini meningkat kepada 20 orang, manakala kira-kira 320 yang lain cedera.
Jurucakap Kementerian Kesihatan, Sharafat Zaman ketika ditemui pemberita memberitahu, jumlah kematian mungkin akan meningkat ketika operasi mencari dan menyelamat dipergiat.
Sementara itu, Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat dalam satu kenyataan memaklumkan, gempa pada kedalaman 28 kilometer itu berpusat dekat bandar Mazar-i-Sharif dalam wilayah Balkh, dan turut melanda wilayah Samangan yang terletak berhampiran.
Gempa berkenaan turut memaksa penduduk Mazar-i-Sharif, iaitu bandar terbesar di utara Afghanistan, berlari keluar menyelamatkan diri kerana bimbang kediaman mereka runtuh.
Menurut saksi yang juga wartawan AFP, sebahagian struktur di Masjid Biru tempat terkenal di Mazar-i Sharif juga musnah akibat gempa tersebut, dan penduduk di ibu negara Kabul yang terletak sekitar 420 kilometer ke selatan turut merasakan gegarannya.
Gempa kali ini merupakan kejadian bencana alam terbaharu bagi kerajaan Taliban, yang menghadapi tiga gempa bumi kuat sejak mengambil alih Afghanistan pada 2021.
Pada Ogos lalu, gempa berukuran 6.0 pada skala richter melanda timur Afghanistan memusnahkan banyak perkampungan di kawasan lereng gunung dan mengorbankan lebih 2,200 orang.- AFP