WASHINGTON, 25 April- Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencetuskan kontroversi antarabangsa apabila mengarahkan perlombongan laut dalam dimulakan segera di perairan domestik dan antarabangsa.
Tindakan itu mendapat kecaman keras daripada China.
Langkah tersebut diumumkan sebagai usaha mempercepatkan penerokaan dan pengambilan mineral dasar laut yang kaya dengan logam nadir bumi termasuk nodul polimetalik, bagi mengurangkan kebergantungan terhadap China serta menjana ratusan bilion dolar untuk ekonomi AS.
Namun, arahan Trump itu turut mencetuskan kebimbangan besar dalam kalangan penggubal dasar antarabangsa dan kumpulan pencinta alam sekitar.
Ini kerana ia memintas usaha berdekad lamanya oleh Pihak Berkuasa Dasar Laut Antarabangsa (ISA), sebuah badan di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang belum disertai AS.
"Tiada negara harus mengatasi kuasa ISA dan undang-undang antarabangsa secara sewenang-wenangnya," kata jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun, kepada AFP, menyifatkan tindakan Washington sebagai mencabuli undang-undang dan merugikan masyarakat antarabangsa.
Trump menggunakan undang-undang domestik AS tahun 1980 yang membenarkan pengeluaran permit perlombongan dasar laut di perairan antarabangsa, meskipun AS bukan anggota kepada perjanjian antarabangsa yang memperuntukkan kuasa ISA.
Arahannya memberi tempoh 60 hari kepada Setiausaha Perdagangan untuk mempercepatkan proses kelulusan permit penerokaan dan pengambilan komersial mineral laut dalam termasuk di luar kawasan bidang kuasa negara.
Industri perlombongan laut dalam masih berada di peringkat awal, namun permintaan tinggi terhadap mineral nadir bumi bagi sektor pertahanan, tenaga dan teknologi mendorong AS untuk memperkukuh keupayaan pengumpulan sumber tersebut.
Menurut pegawai kanan pentadbiran Trump, inisiatif berkenaan dijangka menjana lebih satu bilion tan metrik bahan dan mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan serta menyumbang sekitar AS$300 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh 10 tahun.- AFP