BANGKOK, 25 April- Enam pegawai polis Thailand terkorban selepas sebuah pesawat ringan terhempas ke laut ketika menjalani latihan terjun payung di wilayah peranginan Prachuap Khiri Khan, selatan Bangkok, pagi tadi.
Jurucakap polis, Archayon Kraithong memaklumkan bahawa lima daripada enam pegawai yang berada dalam pesawat tersebut maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dirawat di hospital.
Menurut kenyataan Polis Diraja Thailand di Facebook, kejadian berlaku sekitar puku 8.00 pagi (waktu tempatan), kira-kira 100 meter dari pantai daerah Cha-am yang terkenal sebagai lokasi percutian hujung minggu, terletak 130 kilometer dari Bangkok.
Pihak berkuasa kini sedang meneliti perakam data kotak hitam pesawat bagi mengenal pasti punca nahas.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan pesawat berkenaan berpusing sebelum menjunam ke laut, disusuli usaha beberapa individu yang meredah air setinggi dada bagi memberikan bantuan.
Ketua Polis Thailand, Kitrat Phanphet memberi jaminan bahawa siasatan menyeluruh akan dijalankan.
"Polis Diraja Thailand merakamkan ucapan takziah sedalam-dalamnya kepada wira-wira yang telah terkorban dalam insiden ini," menurut kenyataan tersebut.- AFP