fb fb fb fb fb

Krisis Kashmir: India buru pemberontak selepas serangan berdarah

Foto Reuters

SRINAGAR, 26 April – Pasukan keselamatan India memperhebat operasi memburu pemberontak di Kashmir selepas insiden tembakan yang meragut nyawa 26 orang lelaki di Pahalgam, lokasi pelancongan popular di wilayah itu.

Serangan tersebut disifatkan sebagai paling buruk terhadap orang awam dalam hampir dua dekad.

Ketua Tentera India, Jeneral Upendra Dwivedi, telah melawat Srinagar untuk meninjau tahap keselamatan susulan insiden itu, manakala Perdana Menteri Narendra Modi berikrar akan memburu pelaku "hingga ke hujung dunia".

Mangsa yang terkorban terdiri daripada rakyat dari pelbagai negeri di India.

New Delhi menuduh Pakistan terlibat dalam serangan berkenaan dan mendakwa dua daripada tiga suspek dikenal pasti adalah warga Pakistan.

Namun begitu, Islamabad menafikan sebarang penglibatan.

India menggantung Perjanjian Air Indus 1960 yang penting dan mengancam untuk menamatkan aliran air ke Pakistan, mencetuskan amaran dari Islamabad bahawa tindakan sedemikian akan dianggap sebagai "perisytiharan perang".

Sementara itu, Pakistan pula menutup ruang udaranya kepada syarikat penerbangan India, menyebabkan laluan antarabangsa seperti ke Amerika Syarikat (AS) dan Eropah terganggu.

Presiden AS Donald Trump menyeru bertenang dan yakin kedua-dua negara mampu menyelesaikan isu tersebut secara diplomatik.

Pasaran kewangan India turut terjejas, dengan kejatuhan indeks utama dan nilai mata wang rupee.

Pihak berkuasa turut merobohkan kediaman dua suspek pemberontak, termasuk salah seorang yang dikaitkan dengan serangan Pahalgam, dalam langkah yang semakin dikenali sebagai “keadilan jentolak”.

Dalam insiden berasingan, tembakan sporadik dilaporkan berlaku di sepanjang Garisan Kawalan (LoC) yang memisahkan Kashmir India dan Pakistan.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN