fb fb fb fb fb

Gaza di ambang kebuluran: WFP umum stok makanan habis

Foto Reuters

GAZA, 26 April – Program Makanan Sedunia (WFP) mengesahkan stok makanannya di Semenanjung Gaza telah habis sepenuhnya selepas lebih tujuh minggu bantuan disekat oleh Israel, sekali gus mengancam nyawa jutaan penduduk yang kini berdepan kebuluran.

Menurut WFP, dapur penyedia makanan panas telah menerima bekalan terakhir pada Khamis dan dijangka akan berhenti beroperasi sepenuhnya dalam tempoh beberapa hari.

Sebanyak 25 buah bakeri yang disokong WFP juga telah ditutup sejak 31 Mac lalu akibat kekurangan tepung gandum dan minyak masak.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula memberi amaran bahawa bekalan perubatan semakin kritikal, dengan 16 trak bantuan masih tersekat di sempadan.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menyeru agar sekatan bantuan ditamatkan segera.

Serangan ketenteraan Israel yang disambung semula sejak 18 Mac lalu turut menyaksikan sekurang-kurangnya 2,062 kematian direkodkan dalam tempoh itu sahaja, menjadikan jumlah keseluruhan korban sejak perang bermula mencecah 51,439 orang – kebanyakannya orang awam.

Dalam insiden terbaharu, lima ahli keluarga al-Taima maut apabila khemah mereka di Al Mawasi, Khan Younis dibom.

Seorang bapa, Ramy, kehilangan anaknya yang berusia tiga tahun dan berkata menemui mayat anaknya dalam keadaan terbakar.

Israel turut mengeluarkan amaran serangan lebih besar jika tebusan yang masih ditahan oleh Hamas tidak dibebaskan. Seramai 58 individu masih ditawan, termasuk 34 yang disahkan telah meninggal dunia.

Jerman, Perancis dan Britain menggesa penamatan segera terhadap sekatan yang mereka sifatkan sebagai “tidak tertanggung”, sambil memberi amaran risiko kebuluran, wabak penyakit dan kematian semakin meningkat.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebelum ini telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu atas dakwaan menggunakan kebuluran sebagai senjata perang, dakwaan yang ditolak beliau sebagai tidak masuk akal.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN